DUNIA bola sepak tanah air dikejutkan dengan pemergian bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1990, 1993 dan 1994, Mohd Hashim Mustapha.
Allahyarham Mohd Hashim berusia 57 tahun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada pukul 10.25 malam, pada Selasa.
Sebelum ini, penyerang kebangsaan era 1990-an itu dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal sehingga terpaksa ditidurkan berikutan keadaan jantung yang semakin tidak stabil akibat masalah komplikasi kecing manis.
Selain pernah beraksi bersama Kelantan, arwah juga pernah menyarung jersi Kedah FA, Johor FA sebelum mengambil keputusan untuk bersara.
Bersama skuad kebangsaan pula, Mohd Hashim mula menyinar dari tahun 1987 sehingga 1994 dan pernah beraksi sebanyak sembilan kali dan berjaya menjaringkan satu gol.
Selepas bersara dari menjadi pemain bola, pemain yang gemar menyarung jersi bernombor 10 itu memulakan karier kejurulatihannya bersama pasukan Kelantan bawah 21 tahun atau skuad presiden pada 2008.
Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pembantu jurulatih Kelantan di zaman keemasan Kelantan yang dijenamakan sebagai The Red Warrior dari tahun 2010 sehingga 2015.
Mohd Hashim menunjukkan Anugerah Kasut Emas pada 1994.
Tidak dapat dinafikan pemergian Mohd Hashim merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak negara dan ramai penyokong serta bekas anak didiknya berkongsi kisah tentang ALLAHyarham.
“Terima berita pemergian legenda bola sepak Kelantan dan Malaysia, Hashim Mustapha. Ini sebelum era kebangkitan Red Warriors.Tapi Allahyarham bangkitkan semangat penyokong membawa Kelantan ke semi Piala Malaysia 1993 dan jaringkan 29 gol dalam 30 perlawanan Liga-M 1994. Pada zaman itu, saya pernah buka buku panduan telefon nenek untuk cuba dapat nombor rumahnya, tetapi gagal jumpa Hashim Mustapha sebenar,” kongsi Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad di Facebook miliknya.
“Disaat dunia sedang tertumpu kepada bolasepak Piala Dunia Qatar 2022 yang kini memasuki peringkat 16 pasukan terbaik, dunia bolasepak Kelantan diselubungi kesedihan dengan kehilangan seorang pemain yang sangat berbakat, Mohd Hashim bin Mustapha 1966-2022. Masih terbayang aksi sepak gunting Allahyarham semasa perlawanan di Johor Bahru dan di Kedah. Kemahirannya dipadang menggamit pesona penonton. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah,” kongsi Adun Kemahang, Mejar (B), Datuk Md Anizam Ab Rahman di Facebook miliknya.
“Sangat sedih melihat dia begini...Saya ada bergambar dengan dia semasa latihan dan itulah cara saya akan mengingatinya'.. Tolong berikan sokongan saya kepada Hashim Mustapha dan keluarganya. Beritahunya, jurulatih Boateng mengucapkan terima kasih atas semua kenangan indah yang kami lalui bersama,” pesanan penolong ketua jurulatih kebangsaan Ghana, George Antwi Boateng semasa Allahyarham dalam keadaan kritikal.
George Boateng (tengah) bersama Allahyarham (kanan).
George Boateng yang kini sedang sibuk melatih pasukan Ghana di Piala Dunia Qatar pernah menjaid ketua jurulatih Kelantan pada tahun 2014 sebelum diberikan tugas sebagai Pengarah Teknikal Kelantan pada Mac 2015.
Berdasarkan laporan dari Harimau Malaya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baung Ayam di Kelantan pada Rabu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram