KEMPEN Piala Dunia 2022 di Qatar bukan sahaja memberikan keceriaan kepada seluruh penyokong bola sepak global, malah turut membakar semangat barisan pemain skuad Harimau Malaya untuk membawa Malaysia layak ke kejohanan berprestij itu suatu hari nanti.
Pemain tonggak pertahanan negara, Ahmad Khuzaimi Piee dan pemain muda V. Ruventhiran masing-masing percaya bukan mustahil untuk skuad Harimau Malaya beraksi di kejohanan berprestij itu selepas Malaysia menunjukkan peningkatan prestasi sejak dibimbing Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.
Ahmad Khuzaimi yang beraksi bersama Negeri Sembilan FC berkata, sekiranya rezeki berpihak kepada pasukan negara, Malaysia akan dapat beraksi di Piala Dunia 2026 sekali gus mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak negara.
"Bagi saya (soal) rezeki kita tak boleh nak jangka, mungkin empat tahun akan datang Malaysia layak ke Piala Dunia kita tak tahu. Saya harap komitmen pemain yang dipanggil untuk mewakili negara dapat membantu mencipta sesuatu untuk negara dan peminat,” katanya.
FAM pada Khamis melancarkan jersi baharu Harimau Malaya.
Dia berkata demikian ketika ditanya berapa lama lagi perlu menunggu untuk melihat Malaysia akhirnya membuat kemunculan sulung di Piala Dunia, pada majlis pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Pada masa sama, Ruventhiran yang beraksi buat pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC ketika diajukan soalan yang sama, turut percaya Malaysia akan beraksi di Piala Dunia tidak lama lagi.
"Tak lama lagi, sudah dekat (layak ke Piala Dunia)...kami percaya pada jurulatih sebagaimana kami percaya pada diri sendiri...kita pastikan dapat membanggakan negara, suatu hari nanti,” kata pemain berusia 21 tahun itu yang meraih 'cap' antarabangsa pertama menentang Brunei Mei lepas sebelum berada dalam pasukan negara yang mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 sebulan kemudian.
Sementara itu, penjaga gol skuad kebangsaan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed turut senada dengan kedua-dua rakan sepasukannya itu sambil menyifatkan sebagai pemain, mereka akan sentiasa berusaha keras mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.
Keyakinan ketiga-tiga pemain negara itu tidak mengejutkan kerana Pan-gon pada sidang media pertamanya sebagai pengendali skuad kebangsaan pada Februari lepas, turut menyasarkan untuk membantu membawa Malaysia layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.
Peluang Malaysia layak ke Piala Dunia kini semakin terbuka selepas rantau Asia diberikan sehingga sembilan slot pada penganjuran Piala Dunia 2026 yang buat kali pertama bakal menampilkan penyertaan sebanyak 48 pasukan berbanding 32 ketika ini.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Pan-gon mencipta sejarah menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia Jun lepas, namun sehingga kini Malaysia belum pernah beraksi di Piala Dunia sejak edisi sulung pada 1930 di Uruguay selepas sering terkandas di pusingan kelayakan.
Piala Dunia di Qatar bakal berlangsung dari 20 November sehingga 18 Disember ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram