Jangan balik Kedah, 4 sebab Baddrol perlu pilih Perak atau Selangor


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Baddrol membantu Sabah memanjat tangga carta Liga Super hingga di kedudukan ketiga dengan 42 mata. — Facebook

KHABAR angin perpindahan tonggak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar ke majikan lama, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semakin bertiup kencang selepas dia memberi bayangan pengakhiran perjalanannya di skuad Sang Badak.

Bagai merestui pemergian kapten The Rhinos itu, rata-rata penyokong Sabah pasrah jika perkhabaran tersebut benar seperti yang dikata.

Sebagai antara pemain senior di negara ini, khidmat Baddrol pastinya ditagih oleh kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M) lebih-lebih lagi pemain berusia 34 tahun itu cukup disegani kerana sifat kepimpinannya di atas padang.

Dalam konteks ini, bekas tunjang utama barisan tengah pasukan kebangsaan itu dirasakan lebih baik mencari angin baharu di Perak FC atau Selangor FC yang kini sedang menjalani proses transformasi di bawah kejurulatihan baharu.

Berikut empat sebab Baddrol patut pilih Perak FC atau Selangor FC.

r146283_1296x729_16-9

Baddrol (dua kanan) pernah mengetuai pasukan Kedah pada 2016 yang ketika itu di bawah bimbingan Cheng Hoe. — Facebook

1) Faktor coach

Baddrol dirasakan patut bersama salah satu kelab tersebut memandangkan ia dikemudi jurulatih yang cukup dihormati iaitu Tan Cheng Hoe (Selangor FC) dan Lim Teong Kim (Perak FC).

Bersama Cheng Hoe, Baddrol pastinya memiliki lebih chemistry kerana mereka berdua pernah bekerja dalam pasukan sama ketika jurulatih itu mengemudi Lang Merah dari 2014 hingga 2017.

Baddrol juga boleh menyertai revolusi Teong Kim yang begitu agresif memberi wajah baharu buat skuad The Bos Gaurus untuk menyaingi kelab-kelab gergasi lain pada musim depan.

Teong Kim juga pastinya perlukan seorang pemain senior dan berpengaruh untuk membantunya mencurah pengalaman kepada bakat-bakat muda di Perak.

1745272

Baddrol dirasakan boleh bekerja bersama Teong Kim di Perak FC yang sudah pulih daripada masalah kewangan. — Facebook

2) Faktor kewangan stabil

Selangor FC antara kelab Liga M yang memiliki kewangan stabil. Di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak Julai 2018, Selangor FC menerima dana daripada hasil aktiviti pengkomersialan dan tajaan.

Berbeza dengan The Red Giants, Perak FC pernah mengalami zaman susah musim ini selepas dihimpit kemelut kewangan hingga mengakibatkan pasukan itu terhumban ke Liga Perdana.

Begitupun, pengambilalihan Perak FC di bawah XOX Berhad melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd menyaksikan skuad Seladang pulih daripada masalah kewangan.

Bahkan, kelab itu dikatakan berduit kerana mampu menggaji Teong Kim yang pernah dikhabarkan meminta bayaran RM327,000 hingga RM374,000 sebulan seperti didedahkan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

309539493_3360491527531290_6043864238951987010_n

Dikenali sebagai pemimpin atas padang, Baddrol boleh menurunkan ilmu serta pengalamannya kepada pemain muda. — Facebook

3) Faktor pengalaman

Sebagai pemain senior, Baddrol dirasakan boleh menurunkan ilmu serta pengalamannya kepada pemain muda.

Baddrol yang terkenal dengan gelaran Captain Marvel menggalas tugas sebagai ketua pasukan di Sabah FC dan turut memikul tanggungjawab sama semasa di Kedah.

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri pernah mengiktiraf Baddrol sebagai legenda sebenar pasukan Kedah kerana pencapaiannya.

DASgo0eUwAIP7si

Baddrol bersama skuad Lang Merah pernah menjulang Piala FA 2017. — Facebook

4) Kemampuan julang trofi

Selain faktor-faktor di atas, Baddrol dirasakan boleh meneruskan kerjaya bola sepak di kelab berkenaan kerana kemampuan dua pasukan itu menjulang trofi.

Selangor FC dilihat boleh mengulangi zaman kegemilangannya pada musim depan. Seperti skuad Merah Kuning, Perak FC juga mampu mencipta kejutan di bawah pengurusan baharu.

Dengan adanya Baddrol di salah satu kelab tersebut, sentuhan bekas tunjang utama barisan tengah pasukan kebangsaan itu pastinya dapat memberi sesuatu seperti mana yang dilakukan di Sabah musim ini.

Bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, pemain itu membantu Sabah memanjat tangga carta Liga Super hingga di kedudukan ketiga dengan 42 mata.

Apapun pilihan dan keputusan Baddrol kelak, penyokong patut menghormati dan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain kesayangan mereka itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram