Dua kad merah, pertikaman lidah cemari aksi TRW-JDT


  • Podium
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Zulkarnain Zakaria (tengah) menjadi tumpuan antara JDT dan Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

JOHOR Darul Takzim (JDT) seakan-akan berjaya menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mudah meratah Kelantan FC 3-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Sabtu.

Skuad Harimau Selatan mendahului dengan dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad sebelum Leandro Velazquez mengesahkan kemenangan pada minit ke-74.

Namun, di sebalik pertembungan mencuri perhatian itu, insiden kurang menyenangkan serba sedikit mencemari aksi itu sehingga menimbulkan pelbagai perasaan kurang senang daripada kedua-dua penyokong.

Ketika minit ke-76 perlawanan, pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria bertindak melayangkan kad merah kepada pemain tengah JDT, Afiq Fazail yang membentes pemain Kelantan FC, Ikhwan Yazek.

Insiden itu sekali gus akan menyebabkan pemain berusia 28 tahun itu terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di laman sendiri dalam saingan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 11 November ini.

Tidak cukup dengan itu, beberapa minit kemudian tercetus pula situasi tegang antara barisan kejurulatihan The Red Warriors (TRW) dan Harimau Selatan.

Pertikaman lidah itu difahamkan berlaku apabila Ikhwan Yazek sekali lagi menjadi tumpuan selepas dia bertembung dengan pemain import JDT, Hong Wan.

Keadaan menjadi lebih hangat apabila terdapat campur tangan antara benteng pertahanan JDT, Matt Davies dan ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya sehingga terpaksa ditenangkan.

Perlawanan itu sekali lagi menjadi perhatian walaupun selepas pengadil meniup wisel penamat dan sekali lagi kad merah dilayangkan kepada pemain TRW, Jasmir Mehat.

Keputusan itu diambil selepas dia didapati melakukan kekasaran kepada pemain JDT secara tiba-tiba, sekali gus menarik perhatian Zulkarnain yang tidak teragak-agak untuk menggantung Jasmir dalam aksi timbal balik akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram