SUASANA santai di sebuah kedai makanan segera di Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur bertukar cemas apabila dua belah pisau terjatuh di kaunter pesanan oleh seorang lelaki.
Selepas menyedari senjata tajam itu terjatuh, suspek dikatakan melarikan diri sebelum dikejar oleh beberapa orang awam.
Rakaman video suspek ditahan oleh seorang anggota polis sambil dibantu oleh orang awam.
Bagai menonton salah satu babak drama Gerak Khas, salah seorang individu yang mengejar suspek dipercayai merupakan seorang anggota polis sekali gus menangkap suspek.
Menurut saksi kejadian pagi Isnin itu, Athirah Najlaa, 23, ada pelanggan kedai makanan segera itu terkejut apabila melihat pisau tersebut.
"Ketika itu saya sedang beratur untuk membuat pesanan dan terkejut melihat pisau itu jatuh. Lelaki itu kelihatan agak pelik dan seperti berasa ketakutan apabila dapat tahu pisau itu terjatuh.
"Saya melihat ada beberapa orang mengejarnya dan salah seorang daripada mereka merupakan anggota polis kerana menunjukkan lencananya memandangkan dia tidak mengenakan uniform.
"Lelaki itu ada membawa beg dan selepas diperiksa oleh polis terbabit mendapati ia dipenuhi pisau," katanya kepada Majoriti.
Athirah Najlaa juga memuat naik rakaman video di TikTok akaun @athrhnajlaa menunjukkan suspek duduk di atas lantai sambil dikeliling beberapa individu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada pukul 11.25 pagi Isnin.
"Keterangan beberapa saksi sudah diambil bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati suspek merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) terencat akal serta mempunyai kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Suspek juga sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur untuk sakit mentalnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu Zam Halim memberitahu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang boleh menimbulkan kegusaran ketenteraman awam.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03 9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram