PENGALAMAN berdepan dengan penjenayah yang cuba untuk menculik anaknya menjadikan selebriti, Lufya Omar trauma dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Lufya atau nama sebenarnya Lufya Sheikh Omar, 37, memberitahu kejadian itu secara tidak langsung menyebabkan dia sukar untuk menaruh kepercayaan kepada individu asing selain daripada ahli keluarga.
Katanya, kejadian berkenaan menyebabkan dia berasa risau dan kadangkala perkara itu berlaku ketika dihampiri oleh individu tidak dikenali.
“Saya bukan sombong atau berlagak, tetapi apa yang berlaku itu sangat memberi kesan. Saya tidak nafikan dahulu saya dengan anak (Laana Haura, 5) memang mudah mesra dengan peminat terutama ketika ingin bergambar.
“Namun, selepas apa yang berlaku saya agak berhati-hati dan mengharapkan agar peminat tidak menyentuh atau memegang anak saya sewenang-wenangnya.
“Saya mengharapkan kalian dapat memahami dan menghormati permintaan ini. Lagipun keadaan semasa (Covid-19) juga belum pulih sepenuhnya dan tentu itu amat merisaukan saya lebih-lebih Haura masih kecil,” jelasnya kepada Majoriti.
Lufya mengharapkan agar ibu bapa sentiasa peka dengan dengan persekitaran ketika bersama anak-anak.
Bercakap mengenai jenayah penculikan membabitkan kanak-kanak, Lufya menasihatkan agar ibu bapa jangan terlalu fokus dengan aktiviti sendiri sehingga lupa tanggungjawab kepada anak-anak.
Pada masa sama, didik anak mengenai cara untuk mempertahankan diri jika berdepan dengan sebarang kemungkinan seperti penjenayah atau didatangi individu tidak dikenali.
“Jika boleh sebaiknya hantar dan jemput anak dari sekolah dan jangan tinggalkan mereka bermain sendirian. Pantau dan kalau boleh jangan mudah menaruh kepercayaan kepada orang yang tidak kenal sepenuhnya.
“Jangan terlalu berani untuk pergi sendiri dengan anak ke tempat yang jarang dilawati. Sebaiknya pergilah dalam kumpulan kecil dan jangan leka kerana jenayah mampu terjadi dalam sekelip mata,” terangnya.
Terdahulu, Lufya berdepan detik cemas apabila dia bergadai nyawa menyelamatkan anaknya daripada cubaan culik di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Selangor sekitar Jun lalu.
Dalam kejadian itu, Lufya mengalami kecederaan pada bahagian wajah apabila dipukul beberapa kali dengan kayu di kepala dan badan.
Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan tiada tangkapan dibuat sehingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram