KEKALAHAN yang dialami Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di tangan Negeri Sembilan FC menyukarkan kemaraan pasukan itu ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Kekecewaan itu pastinya menghantui pemain dan penyokong Sang Kenari apabila keputusan tewas itu merupakan yang keenam berturut-turut sejak saingan Liga Super lalu.
Manakan tidak, kemerosotan yang dialami tahun ini adalah antara yang tercorot sejak kebelakangan ini selepas mereka mengecapi kejayaan demi kejayaan sebelum ini.
Bagaimanapun, di sebalik kekalahan 1-2 yang dicatatkan itu, peminat setia Hijau Kuning masih mampu melihat sinar dalam skuad yang mula dirudum ketidak tentuan prestasi itu.
Kehadiran pemain muda, Kamil Akmal Abd Halim di posisi pertahanan kanan dilihat berjaya mencuri tumpuan setelah dia berjaya membaca gerak-geri lawan.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan di laman Facebook rasmi KDA FC, pemain tersebut berjaya memintas hantaran lawan sebanyak lapan kali dalam pertembungan itu.
Persembahan Kamil ketika berdepan skuad Jang menerima pujian penyokong Hijau Kuning. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Selain beraksi cemerlang dalam aspek pertahanan, sumbangannya dari segi serangan juga tidak mengecewakan apabila hantarannya jarang tidak menemui rakan sepasukan.
Jadi, penyokong mula mengharapkan pemain berusia 23 tahun itu terus menabur bakti bersama skuad Sang Kenari sepanjang kariernya selepas mula menunjukkan potensi cerah pada awal kariernya.
Namun, menurut laman sesawang transfermarkt, kontraknya bersama pasukan utara tanah air itu bakal berakhir hujung tahun 2021, sekali gus membolehkannya mencari angin baharu dalam karier.
Ketika ini, beberapa pasukan mula merisik benteng baharu di posisi sayap kanan dengan ketandusan pemain kebangsaan serta import di kawasan tersebut.
Perkara itu pasti mendatangkan kegelisahan dan kerisauan kepada penyokong KDA FC selepas dia dilihat sebagai pertahanan kanan terbaik pasukan sejak pemergian Rizal Ghazali ke Sabah FC.
Hal itu diluahkan di laman media sosial dengan Adlin Harun menyuarakan pendapat kepada pihak pengurusan agar menyambung kontraknya sebelum disambar pasukan lain.
"Harap sangat Kamil Akmal dapat terus bermain bersama Kedah. Insya-ALLAH, kalau bermain bersama pasukan ini, pasti kita boleh muncul sebagai juara Liga Super musim depan," katanya.
Luahan itu juga disokong Ahmad Nadim Ahmad Tajuddin yang mahu semangat berkobar-kobar Kamil terus disemai ke dalam skuad KDA FC buat beberapa musim lagi.
"Mereka yang muda-muda ini jangan tidak disambung pula kontarknya kerana saya lihat mereka tampak bersemangat setiap kali beraksi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram