POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap perbuatan khianat yang melibatkan kemusnahan sebuah kabin kontena di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, yang musnah dipercayai akibat perbuatan khianat menggunakan letupan pada 16 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.49 petang, 18 Oktober lalu.
"Pihaknya juga sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat kemusnahan yang teruk sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor di bahagian belakang dalam pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah.
"Siasatan awal itu membawa kepada penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas Wan Hassan lagi, kesemua sampel yang ditemukan sudah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian terbabit.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan juga diminta untuk tampil memberi maklumat bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan.
"Sebarang maklumat bolehlah disalurkan terus kepada Pegawai penyiasat Asistan Superintenden (ASP), Che Intan Subri menerusi talian 013-9329614 atau 04-7321222," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram