Import Penang dilabel tamak, punca gagal catat kemenangan


  • Podium
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Penang memulakan kempen Piala Malaysia dengan keputusan seri di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Rabu. — Facebook/Penang FC

MESKIPUN dengan kepulangan bekas ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid ke Penang FC, pasukan tersebut masih gagal untuk mencatatkan kemenangan dalam kempen Piala Malaysia mereka.

Keputusan seri 2-2 ketika menentang pasukan Liga Perdana, Kuching City FC seakan-akan menyukarkan kemaraan skuad Harimau Kumbang dalam kejohanan tersebut.

Oleh itu, dalam perlawanan kedua 31 Oktober ini, penyokong pastinya mengharapkan permainan lebih baik dalam usaha menempah tempat di suku akhir.

Selain mengharapkan pendekatan taktikal ketua jurulatih lebih baik, kesebelasan utama yang diturunkan juga menjadi kayu ukur sekiranya mereka berhasrat untuk mencatat kemenangan.

Sebelum ini, ketika pertembungan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Manzoor Azwira menaruh harapan ke atas pemain dengan menurunkan gandingan Danial Ashraf dan Endrick di posisi tengah.

Keputusan itu diharapkan mampu menambah baik peluang menyerang dengan kedua-dua pemain tersebut dilihat mampu mengganggu benteng pertahanan lawan.

Namun, ia tidaklah seperti yang diharapkan apabila penyokong berasakan sumbangan dan gerak-geri Endrick tidak memberi hasil dalam merancang serangan.

Endrick-dos-Santos-Penang-FC-bukan-dipinjam-JDT

Sikap Endrick di atas padang terus menerima cemuhan dan kritikan penyokong Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Perkara itu diluahkan di media sosial dengan seorang penyokong bola sepak tempatan, Syazwan Shukri berkata, pemain kelahiran Brazil itu tidak perlu bermain untuk 90 minit perlawanan.

"Endrick tu sepatutnya dah boleh keluar dah kerana saya nampak dia tidak mahu mengejar semula bola apabila ia sudah tidak dalam kawalannya lagi. Mungkin sudah tiada hati untuk bermain bersama Penang FC," katanya.

Luahan itu turut disokong seorang lagi peminat tegar Harimau Kumbang, AK yang mengatakan pemain berkenaan bersifat tamak dan mementingkan diri ketika berada di atas padang.

"Endrick pentingkan diri, banyak pilihan untuk lakukan hantaran tetapi tetap mahu untuk menjaringkan gol peribadi. Harap Manzoor boleh tambah baik pemain itu," katanya.

Oleh itu, penyokong tersebut berharap agar barisan kejurulatihan tidak menurunkan Endrick dalam pertembungan di Stadium Negeri Sarawak sekiranya berhasrat untuk memastikan kemaraan.

"Saya rasa Endrick patut diletakkan di bangku simpanan dan bagilah peluang kepada pemain tengah lain untuk mengawal perlawanan dan rakan sepasukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram