PENYOKONG bola sepak Indonesia diketahui sangat fanatik terhadap pasukan pilihan mereka. Perkara itu dialami sendiri, pemilik PSPS Riau, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan gelaran Zamsaham apabila penyokong kelab Indonesia itu bertindak ganas dengan melakukan rusuhan dan merosakkan fasiliti Stadium Utama Riau.
Tragedi rusuhan itu difahamkan berlaku sebagai tanda protes penyokong selepas aksi PSPS Riau menentang PSMS Medan pada 22 September lalu. Perlawanan itu menyaksikan pasukan PSPS Riau tewas 3-4 dan masih gagal mencapai kemenangan di Liga 2 Indonesia musim ini.
Rentetan kejadian itu, Zamsaham menerima tekanan daripada masyarakat Riau malah keadaan dikatakan menjadi semakin teruk apabila poster usahawan tersebut turut ditampal di tepi hentian bas dengan tertera perkataan ‘Zamsaham Out’.
Desakan yang diterima itu bukanlah yang pertama dialami Zamsaham. Malah, sebelum ini, pemilik Kelantan FC itu juga menerima ugutan daripada fans fanatik yang menyasarkan bisnes Zamsaham.
Sebahagian kerosakan kerusi di Stadium Utama Riau angkara perbuatan sebilangan penyokong fanatik.
Ia rentetan pembatalan perlawanan antara PSPS Riau dan Kelantan FC kira-kira sejam sebelum sepak mula gara-gara polis meminta wang sebanyak 40,000,000 rupiah (RM 11,826.75).
Selepas berdepan desakan demi desakan itu, Zamsaham bersedia melepaskan pemilikannya dalam kelab bola sepak Indonesia itu.
Zamsaham pada Sabtu memberitahu, dia menerima kunjungan Ketua Lembaga Adat Melayu Riau dan Wakil Koni Jambi yang menawarkan beberapa tawaran untuk PSPS Riau.
"Hari ini saya menerima tetamu dari Indonesia iaitu Ketua Lembaga Adat Melayu Riau dan Wakil Koni Jambi yang melawat Kilang Zamburger di Subang.
Zamsaham meninjau keadaan Stadium Utama Riau pada September lepas selepas insiden rusuhan penyokong gara-gara kekalahan PSPS Riau.
"Selain melawat kilang, mereka tawarkan saya beberapa deal PSPS Riau. Nampaknya ada tiga party (pihak) berminat sekarang. Orang Medan, Batam dan dari Jambi. Kita lihat mana deal yang sesuai.
"Insya-ALLAH mereka juga bersama saya akan ke Kelantan untuk menonton perlawanan (Piala Malaysia) lawan Sarawak nanti," katanya di Facebook.
Rata-rata penyokong mendoakan agar urusan penjualan kelab itu dipermudahkan dan beliau dapat memberi fokus yang lebih kepada pasukan The Red Warriors.
Zamsaham dilaporkan hanya mahu melepaskan kelab tersebut jika pemilik baharu dapat membayar 81 peratus saham bernilai 15 bilion rupiah (RM4.58 juta).
PSPS Riau kini berada di tangga tercorot Liga 2 Indonesia Kumpulan A dengan hanya mengumpul satu mata hasil satu keputusan seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram