BARU-BARU ini akaun Facebook rasmi Sri Pahang FC memuat naik video yang memaparkan aksi kelab Sri Pahang FC sepanjang musim Liga Super lalu.
Di penghujung video tersebut, selain ucapan untuk mengajak penyokong bersama-sama menyaksikan aksi Tok Gajah di Piala Malaysia, kamera turut memberi fokus kepada pemain bernombor 36.
Pemain itu adalah Hasnul Zaim, beraksi di posisi pertahanan skuad kendalian Datuk Dollah Salleh dan jarang diturunkan.
Malah, sepanjang musim bersama Sri Pahang FC, Hasnul hanya turun sebanyak lima perlawanan sahaja.
Fokus video tersebut terhadap Hasnul membuatkan penyokong tertanya-tanya adakah pemain itu akan kembali beraksi?
Seorang penyokong Sri Pahang, Sukri Azhar berkata, sudah tiba masa untuk Hasnul diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
"Hasnul itu jangan tunjuk dalam video sahaja. Tapi asyik kena peram, tak diberi peluang bermain. Padahal lagi bagus dari nombor 13 (Ashar Al Aafiz)," katanya.
Beberapa penyokong lain juga mahukan Hasnul diberikan peluang untuk beraksi dan berikut, Majoriti senaraikan lima sebab mengapa pemain itu perlu beraksi untuk Tok Gajah dalam kempen Piala Malaysia.
1. Usia yang muda
Berusia 21 tahun, Hasnul masih mempunyai semangat yang membara untuk mempersembahkan permainan terbaik bukan sahaja untuk pasukan, tetapi juga untuk dirinya.
Malah, sepanjang lima perlawanan beraksi untuk Sri Pahang FC, dia pernah menjaringkan satu gol dan ini menunjukkan tahap keyakinannya yang tinggi.
Tidak mustahil jika diberikan peluang beraksi yang kerap, kualiti permainannya juga akan meningkat sekali gus memberikan peluang yang cerah buat Tok Gajah.
Aksi longlai Ashar sering menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong. — Facebook/Sri Pahang FC
2. Aksi lemah Ashar Al Aafiz
Menjadi pemain yang sering diturunkan dalam kesebelasan utama, aksi Ashar Al Aafiz dalam padang nampak semakin kurang meyakinkan.
Malah, berbanding Hasnul yang hanya turun lima perlawanan dalam Liga Super, Ashar beraksi sebanyak 20 kali dan tidak mencatatkan sebarang gol.
Penyokong juga, setiap kali Ashar diturunkan beraksi nampak memberi komen yang negatif dan risau dengan prestasi pemain itu.
3. Kehendak penyokong
Selain itu, penyokong juga nampak begitu dambakan aksi Hasnul bersama Sri Pahang FC.
Malah, ramai yang tertanya-tanya adakah video berkenaan yang memaparkan Hasnul di hujung video seperti memberi tanda yang pemain itu akan kembali sebagai kesebelasan utama.
Keterujaan penyokong untuk melihat Hasnul kembali menunjukkan yang pemain itu sebenarnya mempunyai kualiti permainan yang baik jika diberi peluang.
Penyokong merasakan usia Muslim Ahmad antara penyebab prestasi tidak konsistennya dalam padang. — Facebook/Sri Pahang FC
4. Memperkuatkan benteng pertahanan
Antara masalah yang dihadapi Sri Pahang adalah kerapuhan benteng pertahanan yang begitu sedang dibolosi lawan.
Selain Ashar, Muslim Ahmad, pemain senior yang beraksi di posisi pertahanan juga sering dikritik penyokong ekoran aksinya yang longlai dan mudah dibolosi.
Statistik Liga Super menunjukkan Sri Pahang FC bolos 31 sepanjang musim ini dalam 22 perlawanan.
Kemasukan Hasnul dilihat antara tindakan boleh meningkatkan sedikit kelemahan benteng pertahanan.
5. Kelebihan fizikal
Selain berusia muda, Hasnul mempunyai ketinggian cukup baik iaitu 1.75 meter.
Ketinggian itu untuk beraksi di bahagian pertahanan boleh dijadikan senjata untuk mengekang asakan lawan.
Fizikal yang tinggi juga memberi kelebihan untuk Hasnul mempamerkan larian yang laju sama ada untuk bertahan atau membantu serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram