Jersi Terengganu FC 'mendonia' angkara penyokong England


  • Podium
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Gambar pemuda itu yang meraikan kejayaan England menjuarai Women’s Euro kemudiannya menjadi paparan utama dalam laporan Wall Street Journal di Amerika Syarikat. — Agensi

JIKA dua bulan lalu, Terengganu menjadi tumpuan dunia maya apabila seorang penstrim Twitch yang merupakan pemain FIFA terkenal iaitu Danny Aarons menerima jersi pasukan Pantai Timur itu.

Jersi yang diterima beliau yang merupakan uniform ketiga Terengganu musim ini pada mulanya kelihatan buruk, namun selepas dilihat secara keseluruhan baju berkenaan kelihatan cantik.

Malah, penonton strim beliau turut bersetuju yang jersi ketiga Terengganu cukup cantik lagi lawa.

Terbaharu, jersi Terengganu sekali lagi menjadi tumpuan apabila baju rasmi skuad Penyu disarung oleh seorang pemuda yang menyaksikan perlawanan akhir Womens’ Euro di England.

Jersi yang disarung itu merupakan baju utama Terengganu pada 2018 yang menyaksikan jenama Chicken Cottage menjadi penaja.

Memetik laporan portal Semuanya Bola, ia adalah salah satu daripada dua jersi utama Terengganu untuk musim 2018 dengan jersi ini disarung untuk saingan Liga Super dan Piala FA.

Satu lagi jersi dengan rekaan serba putih pula digunakan khas ketika Piala Malaysia musim yang sama.

Ketika itu, Terengganu layak ke perlawanan akhir namun kalah kepada Perak.

Gambar pemuda itu yang meraikan kejayaan England menjuarai Women’s Euro kemudiannya menjadi paparan utama dalam laporan Wall Street Journal di Amerika Syarikat mengenai kejayaan Lionesses.

Pemuda tersebut berkemungkinan adalah pengikut karier bekas pemain Terengganu, Lee Tuck yang pernah mencipta sensasi di England selepas berjaya membawa skuad Penyu ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Ataupun lelaki berkenaan pernah melancong ke Malaysia terutamanya Terengganu lalu membawa pulang jersi tersebut.

Untuk rekod, England menewaskan Jerman pada perlawanan akhir untuk merangkul gelaran kejuaraan Eropah yang pertama dalam sejarah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram