HANYA dua perlawanan berbaki buat Selangor FC untuk menambah baik kedudukan mereka dalam liga selepas menempuhi pembukaan musim yang mengecewakan.
Kemasukan ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe berjaya mengubah nasib pasukan itu apabila mereka berjaya mendaki dua anak tangga Liga Super ke kedudukan ketujuh ketika ini.
Namun, mereka pastinya tidak mahu menghentikan usahanya setelah skuad Gergasi Merah berpeluang menamatkan saingan liga di posisi terbaik dengan pasukan itu hanya dibezakan dua mata dengan Kuala Lumpur (KL) City FC di tangga kelima.
Tidak cukup dengan itu, juara 33 kali Piala Malaysia itu hanya perlu berdepan dua pasukan tercorot liga, Sarawak United dan Penang FC yang pastinya memberi sedikit kelegaan kepada penyokong.
Tetapi, bagi Cheng Hoe, dia pastinya tidak mahu memandang rendah setiap lawan yang dihadapi sekiranya mereka masih berhasrat untuk mengutip enam mata penuh.
Pengendali berusia 54 tahun itu semestinya berhasrat untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik selain memastikan tiada kecederaan dialami dalam kalangan tonggak pasukan.
Bagi penyokong pula, mereka masih berpendapat penggiliran pemain perlu dilakukan bagi membolehkan wajah baharu diberi peluang di atas padang selain membolehkan pasukan itu lebih bersedia untuk kejohanan Piala Malaysia.
Dinesh tidak beraksi buat Selangor FC berikutan isu kecederaan. — Facebook/Selangor FC
Menerusi tinjauan di media sosial, terdapat pandangan daripada penyokong Selangor FC yang berpendapat pertahanan kiri, Fazly Mazlan wajar direhatkan dalam aksi menentang Sarawak United.
Meskipun sumbangannya tidak boleh dinafikan kebelakangan ini, bekas pemain Johor Darul Takzim itu kurang memberikan bantuan dalam aspek serangan.
Ketangkasan dan aksi pertahanan Fazly sememangnya sukar untuk dinafikan apabila dia kerap melakukan bentesan ke atas pemain lawan dalam menyekat serangan.
Namun, di sebalik kemampuan itu, penyokong masih berasakan pemain muda, R Dinesh perlu diberi peluang dalam aksi menentang pasukan Borneo itu.
"Sepatutnya, Dinesh perlu diturunkan ketika beraksi di Stadium Negeri Sarawak dengan Fazly harus direhatkan selepas berkali-kali bermain musim ini," kata Muhammad Hannan Bin Yum.
"Betul, lama rasanya tidak dapat lihat Dinesh bermain untuk Selangor FC," kata Muhammad Hakimi Iskandar Zulkernain yang juga menyokong pendapat tersebut.
Setakat ini, bekas pemain Pahang itu tidak pernah dibawa ke dalam skuad hari perlawanan, namun dia sudah diletakkan di bangku simpanan sejak Cheng Hoe mengambil alih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram