'Ini satu pendekatan politik kotor dan jijik', penyokong PAS dakwa video tular model 'catwalk' acara tertutup


  • Politik
  • Jumaat, 30 Sep 2022

POSTER hebahan Hari Sayyidatina Aishah yang tular kerana mengandungi slot 'fashion show'.

PENULARAN video wanita bertudung yang sedang melakukan pertunjukan fesyen disifatkan sebagai satu pendekatan politik kotor dan jijik.

Penyokong tegar PAS, Ahmad Fahmi Mokhtar mendakwa, video raptai fashion show ini telah disebarkan oleh akaun Facebook Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu dengan konatasi pertanyaan yang memerli kerajaan PAS kerana mengadakan catwalk.

"Ini satu pendekatan politik kotor dan jijik. Kotornya kerana ada yang mahu melontarkan fitnah dan tuduhan tidak baik kepada kerajaan PAS.

"Jijiknya pula kerana ada yang sanggup mendedahkan kehormatan wanita-wanita Terengganu yang telah dilindungi dengan kemas oleh kerajaan negeri.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 1.42.51 PM

Ahmad Fahmi Mokhtar menganggap penularan video itu satu pencerobohan maruah wanita.

"Ini satu pencerobohan yang tiada tolak ansurnya. Hinggakan model yang memperagakan fesyen itu terkesan dengan pencerobohan maruah ini," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan wanita bertudung melakukan catwalk dalam satu majlis yang dianjurkan oleh PAS.

Difahamkan, fashion show itu dilakukan bersempena Hari Sayyidatina Aisyah, program tahunan yang dijenamakan semula daripada Hari Wanita Terengganu.

Menurut Ahmad Fahmi, majlis itu juga akan melancarkan Dasar Wanita Terengganu untuk memperkasakan dan melindungi wanita.

Jelasnya, memang ada slot fashion show (peragaan batik) tetapi tertutup untuk wanita sahaja dan dilaksanakan dengan penuh tatatertib serta menjaga kehormatan wanita.

"Ketika kerajaan negeri berusaha melancarkan Dasar Wanita Terengganu bagi mengangkat institusi wanita, ironinya pula mereka (Pemuda Umno Terengganu) menggunakan wanita untuk tujuan politik songsang.

"Hingga kini, tiada permintaan maaf secara rasmi daripada Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu yang telah menceroboh daerah kehormatan dan maruah wanita Terengganu," katanya.

Tambahnya, sebagai lelaki yang mempunyai isteri, anak dan adik perempuan, dia mengutuk keras pencerobohan maruah itu dan menggesa pihak terbabit membuat permohonan maaf. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram