PENGUMUMAN pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Selasa membolehkan pasukan tercorot Liga Perdana, Perak FC beraksi dalam saingan Liga Super musim depan tanpa perlu menghadapi perlawanan 'play-off'.
Perkara itu pasti mendatangkan kegembiraan, lebih-lebih lagi kepada penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang lama menantikan pasukan itu berdepan skuad gergasi Liga Malaysia.
Khabar terkini ini tentu memberi kelegaan buat pihak pengurusan dan syarikat komunikasi, XOX Berhad yang menerajui pemilikan pasukan dengan pelaburan besar.
Pengambilan wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan pasti menjadi agenda utama dalam memastikan pasukan itu mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.
Prestasi yang kurang memberangsangkan ketika ini menjadi faktor utama untuk mendapatkan pemain berkualiti, lebih-lebih lagi di bahagian pertahanan dengan 30 gol dibolosi dalam 18 perlawanan.
Di samping itu, perancangan dalam memastikan masa depan kelab terjamin juga pasti dirangka secara teliti dengan menambah baik infrastruktur dan pusat latihan.
Namun, sebuah lagi pelan besar-besaran dibuat pihak atasan adalah untuk membina sebuah stadium baharu bagi menggantikan Stadium Perak ketika ini yang hanya mampu menempatkan 42,000 penonton.
Perkara itu diumumkan pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada Selasa yang berasakan perancangan itu bakal melonjakkan nama dan reputasi Perak FC.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. — Stadium Astro
Tambah beliau, perkara itu masih berada di tahap perbincangan dan berharap pihak berkuasa dapat memberikan kerjasama dengan menyediakan tapak strategik.
Meskipun perancangan itu kelihatan sebagai satu langkah optimis, penyokong TBG masih melihat penekanan sewajarnya perlu diberikan ke atas permainan yang mampu ditawarkan di atas padang.
Seorang penyokong, Azwa Sakinah berkata, kualiti pasukan perlu diberi perhatian walaupun tidak menolak idea pembinaan stadium baharu itu adalah pelaburan yang menguntungkan.
"Mantapkan dahulu pasukan atas padang, Yob. Pasukan ketika ini pun masih terkapai-kapai, janganlah memikirkan mengenai stadium terlebih dahulu dan perlu dilihat hasil daripada perubahan itu.
"Apa-apa pun, semoga menjadi titik permulaan buat kebangkitan semula Perak FC, Kejor Yop Kejor. Jatuh bangun sekalipun, pasukan Perak tetap di hati," katanya.
Pandangan Azwa itu turut dilontarkan Sheyzal Azman yang mahu perubahan di atas padang dilakukan terlebih dahulu sebelum membincangkan perkara besar sebegitu.
"Terlalu awal untuk terus membina sebuah stadium baharu. Baiki prestasi dan kebolehan di atas padang terlebih dahulu dan ketika itu, bolehlah sekiranya mahu menaik taraf segala kemudahan asas.
"Apabila penyokong sudah mula ramai, bolehlah bina stadium baharu. Saya risau sekiranya kehabisan dana untuk membangunkan stadium sehingga tidak mampu membayar gaji," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram