Bekas anak didik Teong Kim di Bayern Munich jadi idaman penyokong Perak FC


  • Podium
  • Isnin, 19 Sep 2022

Sieghart (tengah) mudah dipanggil ke Malaysia kerana jarak perjalanan yang perlu ditempuhi untuk dia berulang-alik ke Thailand tidak terlalu jauh. — Facebook

KHABAR angin atau rumours dalam bola sepak lebih-lebih lagi membabitkan pemain dan jurulatih prolifik adalah perkara biasa dalam bola sepak.

Malah sebelum ini jurulatih baharu Perak FC, Lim Teong Kim dikaitkan dengan satu 'senarai bocor' barisan pemain yang mungkin dalam pertimbangan skuad The Bos Gaurus.

Penyokong Perak dan peminat bola sepak tanah air secara amnya pasti teruja dan tertunggu-tunggu untuk mengetahui pemain pilihan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu.

Dalam keterujaan itu, penyokong setia yang juga pemain ke-12 Perak FC tidak mahu ketinggalan 'menyumbang' idea atau cadangan dari segi pemilihan pemain mengikut selera masing-masing.

Di laman Facebook Info Bolasepak Perak, perkongsian mengenai seorang pemain bekas pemain skuad remaja Bayern Munich yang juga anak didik Teong Kim menjadi perhatian umum.

0b1

Beraksi dalam Liga Thailand, Sieghart dirasakan tidak bermasalah dalam menyesuaikan diri dengan bola sepak Asia. — Agensi

"Salah seorang anak didik Teong Kim sewaktu di Bayern Munich. Dia mempunyai dua kerakyatan iaitu Jerman dan Thailand.

"Bermain di posisi AMF (attacking midfield), rasa-rasa ada dalam senarai LTK (Teong Kim) tak? Bukan khabar angin, sekadar tanya saja. Umur pun dalam 28 ke 29 juga dia ini," tulis perkongsian itu.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Alexander Sieghart, 28, yang pernah beraksi dalam Liga Thailand bersama skuad Bangkok United pada musim lalu.

Semakan Majoriti di transfermarkt.com, mendapati kontraknya bersama kelab itu tamat sejak 31 Mei 2022 dan merupakan pemain bebas (without club) sejak 1 Julai 2022.

Berketinggian 1.73 meter, Sieghart mula menyertai Liga Thailand bersama Buriram United pada musim 2016/2017.

477357746-b3bf12200b30d3cc60cc82ccc9d8677e5-bNG

Sieghart mula menyertai Liga Thailand bersama Buriram United pada musim 2016/2017. — Agensi

Dia kemudiannya menyertai Bangkok United pada awal musim 2017 dan pernah beraksi bersama Police Tero FC sebagai pemain pinjaman pada musim 2020/2021.

Sieghart memiliki darah campuran Jerman dari sebelah bapanya, manakala ibu pemain itu adalah warga Thailand.

Tidak bermasalah dalam menyesuaikan diri dengan bola sepak Asia selain berpengalaman beraksi di Eropah, Sieghart dilihat antara calon yang sesuai bagi mengisi kuota import Perak FC.

Sieghart juga mudah dipanggil ke Malaysia kerana jarak perjalanan yang perlu ditempuhi untuk dia berulang-alik ke Thailand tidak terlalu jauh.

"Aku rasa elok kot Perak Football Club adakan perjumpaan dengan FC Bayern München," ujar Haikal Din di ruangan komen posting tersebut.

"Pemilihan player urusan LTK (Teong Kim)," kata Rizal Jaszle pula.

Apapun, sama-sama nantikan senarai rasmi pemain Perak FC di bawah bimbingan Teong Kim kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram