'Kalau ada tanah, harga biar berpatutan', Perak FC mohon sokongan pihak berkuasa bina stadium


  • Podium
  • Selasa, 27 Sep 2022

Perak FC turut mempunyai bajet untuk menukar permukaan padang di Stadium Perak di Ipoh yang menjadi gelanggang rasmi pasukan ketika ini. — Facebook

IMPIAN Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) adalah untuk memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan prasarana terbaik kepada pemainnya sebagai usaha membawa kembali pasukan itu ke puncak kegemilangan.

Untuk merealisasikan impian itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya sudah memohon kepada pihak berkuasa di Perak berhubung perancangan itu yang bakal melonjakkan lagi ‘saham’ pasukan serta melengkapkan ciri-ciri sebagai sebuah pasukan profesional.

Namun, Abdul Azim berkata, proses perbincangan masih lagi berjalan dengan beliau berharap pihak terbabit dapat memberikan sokongan penuh kepada hasrat pasukan.

"Saya mohon sokongan mereka (pihak berkuasa), bukan sokongan dari segi duit tetapi katakan kita perlu tanah di mana kita boleh bangunkan stadium. Kos (pembangunan) kami tanggung, bukan kita minta kerajaan negeri naikkan stadium cuma perlukan tanah.

"Jadi tanah itu kalau ingin dijual atau dipajak, harga biar berpatutan kerana duit pasukan tidak mengalir begitu saja,” katanya baru-baru ini.

azim perak

Abdul Azim berkata, Perak FC terlebih dahulu perlu mempunyai prasarana yang lengkap seperti dimiliki kebanyakan kelab di luar negara. — Bernama

Menurut Abdul Azim, terdapat tanah ‘kosong’ di sekeliling pusat latihan pasukan di Chepor, Ipoh yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat latihan baharu selain hotel, pusat fisioterapi, gimnasium dan kemudahan lain yang diperlukan pemain.

Dalam usaha menarik minat pemain-pemain handalan menyertai Perak FC, beliau berkata, pasukan itu terlebih dahulu perlu mempunyai prasarana yang lengkap seperti dimiliki kebanyakan kelab di luar negara.

Pada masa sama, beliau berkata, Perak FC turut mempunyai bajet untuk menukar permukaan padang di Stadium Perak di Ipoh yang menjadi gelanggang rasmi pasukan ketika ini, meskipun menyedari ia bakal menelan kos tinggi.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat iaitu hanya Perak FC boleh menggunakan padang itu demi mengelakkan berlaku kerosakan rumput.

"Kalau banding dengan Johor Darul Takzim (JDT), stadium mereka hanya untuk JDT saja, jadi kita nak begitu juga kerana padang begitu penting kepada pemain. Jangan kerana padang pemain terseliuh atau patah kaki kerana permukaan yang tak rata,” katanya.

Perak FC yang ketika ini bersaing dalam Liga Premier dijangka bertanding dalam Liga Super musim depan ekoran penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga-M) yang dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), namun keputusan rasmi hanya akan diketahui dalam masa terdekat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram