Jurulatih usia 44 tahun setuju sertai Kedah ganti Aidil Sharin


  • Podium
  • Ahad, 25 Sep 2022

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak dilantik pada 2018. — Agensi

PENGUMUMAN ketua jurulatih baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe menamatkan khabar angin bahawa dia akan berhijrah ke utara tanah air untuk menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Meskipun skuad Sang Kenari tidak berada dalam pergolakan di atas padang, namun sentuhan daripada seorang pengendali baharu mampu membawa dimensi berbeza kepada gerak-geri dan rentak permaianan mereka.

Dalam saingan liga, mereka menduduki tangga kelima dengan peluang untuk mengejar slot ke pentas Asia masih lagi terbuka luas dengan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak kembali menemui rentak permainan yang bergaya.

Namun, desakan daripada penyokong Hijau Kuning mengatakan ketua jurulatih itu perlu digantikan apabila dia sudah memegang jawatan selama hampir empat tahun.

Perkara itu berikutan kekurangan kejayaan dan trofi yang dikecapi sepanjang KDA FC berada di bawah kendalian ketua jurulatih kelahiran Singapura itu sepertimana pernah dilakukan Cheng Hoe.

Tetapi, seiring dengan khabar angin sebelum ini yang mengatakan Cheng Hoe bakal pulang ke negeri kelahirannya, muncul juga satu lagi nama jurulatih berkaliber untuk mengendalikan pasukan itu musim depan.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain sebelum ini berkata, terdapat kemungkinan bahawa musim 2022 merupakan yang terakhir buatnya mengendalikan skuad tersebut.

nafuzi-zain-aidir-photography

Nafuzi Zain mula menempa namanya dalam arena bola sepak tempatan bersama Terengganu FC. Facebook/Aidir photography

Selepas dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2019, dia tidak menunggu lama untuk menerapkan gaya permainan yang dihajati dengan memastikan pasukan itu menemui rentak dan gaya tersendiri.

Selain memastikan skuad Sang Penyu beraksi dengan konsisten di atas padang, Nafuzi turut berjaya mengasah bakat-bakat baharu seperti Faisal Halim dan Azam Azmi Murad.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya KDA FC terbuka untuk menggantikan Aidil dengan ketua jurulatih berusia 44 tahun itu bagi membentuk satu pasukan yang lebih mantap.

Baru-baru ini, perkara itu seakan-akan disahkan menerusi media sosial apabila seorang penyokong bola sepak tempatan, Syafiq Freman mengatakan KDA FC merupakan destinasi buat Nafuzi.

"Hijau Kuning bakal menjadi destinasi seterusnya buat jurulatih muda berusia 44 tahun terbabit. Dikhabarkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan," katanya.

WhatsApp Image 2022-09-25 at 10.38.37

Ciapan seorang penyokong memberi gambaran KDA FC bakal mendapatkan ketua jurulatih baharu.

Perkara itu pastinya mengundang keghairahan daripada penyokong bola sepak tempatan seluruhnya dengan kehadiran Nafuzi mampu memberi sentuhan seperti yang berjaya dilakukannya bersama Terengganu FC.

"Okay-lah kalau sebegitu. Tidaklah saya terlalu sedih melihat Tan Cheng Hoe pergi ke Selangor. Mana tahu, Aidil pula yang pergi ke Terengganu pula," kata Nazcenzo Cassano.

"Jika dahulu Kedah terkenal dengan taktikal tiki-taka daripada Cheng Hoe. Selepas ini, mungkin kita boleh saksikan Nafuzi Ball," kata Gaban Malaya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram