PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya memperjelaskan beberapa persoalan yang bermain di fikiran peminat bola sepak tempatan terutamanya penyokong Harimau Selatan.
Menerusi sesi soal jawab bersama kelab penyokong, TMJ menjawab tiga persoalan utama yang menyelubungi kelab JDT hingga menimbulkan spekulasi serta bualan hangat dalam kalangan penyokong.
Berikut merupakan tiga teka-teki yang dijawab oleh TMJ dalam sesi soal jawab bersama penyokong Harimau Selatan yang disiarkan secara langsung di Facebook Johor Southern Tigers pada Selasa.
JDT menghormati keputusan Mora untuk mengundurkan diri dari kelab. — Facebook
1) Benjamin Mora dan Hector Bidoglio
Berkenaan bekas jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora, TMJ berkata, kedua-dua pihak antara kelab dan pengendali dari Mexico itu sudah mencapai persetujuan untuk lepaskan Mora.
"Persetujuan itu antara Mora dan kelab, di mana kita bersetuju apabila dia mahu berhijrah dan kami menghormati keputusan tersebut.
"Spark antara Mora dengan pemain dah berkurangan, jadi ia adalah masa yang tepat dan sesuai untuk part ways, dan kami bersetuju apabila dia mahu cuba angin baru," katanya.
Kata TMJ lagi, berhubung Hector Bidoglio pula, baginda meminta agar penyokong memberi masa kepada pengendali dari Argentina itu untuk mengenali secara lebih mendalam kelab dan liga bola sepak tempatan.
"Beri dia masa, dia baru kenal pasukan, baru kenal pemain-pemain dan bola sepak tanah air dan pasukan-pasukan lawannya.
"Dalam bola sepak, setiap perlawanan adalah senario berbeza. Takkan lawan Negeri Sembilan, guna cara yang sama lawan Kedah.
"Jadi beri ruang kepada jurulatih dan pemain untuk perform seperti mana yang mereka patut perform. Tak guna kita nak push panic button. Selangor kalah enam tahun pun tak push panic button, ini (JDT) menang tiap-tiap tahun, nak panik buat apa," katanya.
Farizal disifatkan sebagai antara pemain yang berjasa buat kelab. — Facebook
2) Nasib Bergson dan Farizal
Harapan peminat untuk menyaksikan Bergson da Silva bermain bersama JDT pada musim depan mungkin akan menjadi kenyataan selepas TMJ memberi jaminan bahawa pemain import kelab itu dikekalkan pada musim depan.
"Jikalau kelab tiada cakap apa-apa, tiada apa-apalah...dalam kontrak Bergson, kita tengok dia main beberapa game dan berapa banyak game dia score gol...dah gerenti dia bersama JDT (musim depan)," katanya.
Tambah TMJ, JDT juga akan mengekalkan pemain-pemain import sedia ada ketika ini pada musim hadapan.
TMJ memberi jaminan bahawa Bergson antara import yang akan dikekalkan pada musim depan. — Facebook
"Kita takkan buat perubahan dengan cara JDT bermain, tapi kami akan buat beberapa perubahan dengan pemain import yang mana kita akan ada rotational foreign players.
"Ini bermakna kalau kita tengok dulu di JDT hanya pemain-pemain tempatan yang kena fight untuk posisi mereka tapi kita nak tukar mind set yang mana pemain import ni pun kena fight untuk tempat mereka," jelasnya.
Berhubung Farizal Marlias pula, TMJ mengakui pemain berusia 36 tahun itu merupakan pemain yang sudah berumur namun jasanya terhadap kelab tidak boleh dilupakan.
"Saya tak suka pakai buang pemain begitu sahaja. Ada pemain ini, mereka beri komitmen tinggi di atas padang dan di luar padang contohnya dalam bilik persalinan.
"Influence (pemain) senior yang boleh bagi nasihat dan tunjuk ajar kepada junior. Selagi pemain itu beri 100 peratus kepada kelab termasuk sumbangan dari segi tunjuk ajar serta jadi ketua yang baik, pemain itu terus berada di sini (JDT).
Mesut Ozil tidak pernah ada dalam perancangan TMJ untuk dimasukkan ke JDT. — Agensi
3) Mesut Ozil atau Papu Gomez?
Berkenaan Mesut Ozil, TMJ berkata, baginda tidak mahu menghabiskan duit kelab membayar gaji begitu mahal untuk pemain yang dirasakan tidak berbaloi.
"Saya tidak akan mengambil pemain yang hanya boleh berlari beberapa meter dan tidak dapat membantu rakan rakan di bahagian pertahanan.
"Di JDT, tiada superstar...di JDT adalah pemain-pemain yang beri komitmen, yang sanggup mati untuk satu sama lain. Mereka komited untuk attack dan defend sebagai satu unit.
"Saya pernah sign beberapa pemain hebat tetapi atas sebab-sebab tentu, kelab perlu lepaskan dan bayar pampasan yang begitu tinggi.
TMJ memberi bayangan mahu mengikat pemain Sevilla, Papu Gomez seandainya kena dengan 'harganya'. — Agensi
"Saya tak nak JDT menjadi satu kelab retirement programme untuk mana-mana pemain dalam dunia untuk datang sini sekadar dapat gaji yang besar dan lepas itu pencen daripada arena bola sepak," katanya.
Bagaimanapun, TMJ tidak menolak untuk menandatangani seorang lagi bintang La Liga, Papu Gomez jika pemain itu terbuka untuk mencari peluang di rantau Asia.
"Jikalau Papu Gomez boleh memberikan komitmen kepada kelab dan harga munasabah, insya-ALLAH tapi untuk Mesut Ozil tak pernah ada dalam perancangan.
"Kalau dia bagus kenapa satu kelab di sana tak ambil dia, mungkin ada masalah peribadi, ada masalah attitude tetapi perkara itu antara faktor yang kita patut buat penilaian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram