'Bagi soalan power-power' — TMJ bidas 'palatao keyboard warrior', ajak jumpa depan-depan malam ini


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

TMJ sewaktu meraikan kejayaan Piala FA 2022 bersama pemain JDT. — Facebook/JDT

MALAM ini (Selasa) merupakan saat yang dinantikan oleh para penyokong tegar Johor Darul Takzim (JDT) yang mana kelab itu akan mengadakan sesi temu peminat bersama pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Pertemuan yang akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa itu akan menjanjikan satu sesi yang padat dengan lontaran soalan daripada penyokong mengenai rancangan Harimau Selatan pada musim depan.

Malah dijangka, pada sesi itu juga soalan-soalan ‘panas’ mengenai pengunduran bekas jurulatih JDT, Benjamin Mora juga antara penjelasan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong daripada Tunku Ismail.

TMJ yang turut tidak sabar dengan pertemuan bersama peminat itu mencabar individu tertentu untuk tampil hadir dan membawa set soalan mengenai persoalan mereka terhadap JDT.

Tunku Ismail menerusi komen di hantaran laman rasmi Instagram JDT menzahirkan rasa terujanya untuk berjumpa dengan ‘pakar-pakar’ bola sepak bagi bersama-sama berkongsi pendapat dengannya.

TMJ POSTER

Poster hebahan sesi temu peminat bersama TMJ malam ini. — Facebook/JDT

“Bagi soalan power-power. Sila bawa orang-orang pakar bola sepak, fakta dan statistik pada malam ini. Jangan pandai dalam media sosial sahaja. Dulu bertahun-tahun sikit-sikit Mora out. Sekarang nak Mora balik. Masa Mora semua asyik merungut tak habis-habis pasing belakang, game perlahan, taktikal tak bagus dan macam-macam lagi.

“Yang berbual pasal taktikal ini dah berapa piala menang? Saya pun nak tahu. Jadi tidak payah malu-malu. Mari kita jumpa malam ini. Saya pun banyak juga nak belajar dari pakar-pakar bola sepak tanah air ini semua. Saya ada satu soalan yang saya ingin bertanya kepada para penyokong JDT.

“Dalam masa 10 tahun JDT telah tukar 11 jurulatih dan ramai pemain. Tapi macam mana ia tidak menggugat prestasi pasukan? Dan daripada 2014 dalam dan luar padang, kelab tetap berjaya. Anda rasa sebab apa? Bagi saya jawapan malam ini. Kita sama-sama berkongsi pendapat. Jumpa malam ini wahai sekeluarga JDT ku,” tulis baginda.

Selain daripada pengunduran Mora, soalan mengenai perpindahan pemain baharu, rakan penaja dan sasaran 2023 juga antara beberapa soalan yang dijangka akan dilontarkan oleh penyokong.

Malah, bukan hanya penyokong JDT yang teruja dengan pertemuan bersama peminat itu kerana bekas jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azraai Khor Abdullah turut berkongsi di laman Facebook mengenai sesi yang dijangka akan bermula pukul 8:00 malam itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram