KEKALAHAN yang dialami Selangor FC ketika bertandang ke Stadium Darul Aman pada Rabu lalu menjejaskan rentak yang sedang mereka cuba mendapatkan setelah meraih kemenangan ke atas Sabah FC sebelum ini.
Barisan serangan yang tidak menyerlah dikatakan berpunca daripada kekurangan hantaran berkualiti daripada pemain tengah menyebabkan mereka tidak dapat melakukan percubaan berbahaya ke pintu gawang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Selain itu, kesilapan benteng pertahanan memudahkan anak buah Aidil Sharin Sahak menjaringkan tiga gol, lebih-lebih lagi apabila pintu gol Selangor FC dibolosi pada minit-minit akhir permainan.
Penyokong pastinya berharap agar perubahan dari segi teknikal dan pemilihan pemain dilakukan ketua jurulatih, Nidzam Jamil apabila mereka bakal bertemu Melaka United FC (MUFC) awal bulan Oktober.
Perkara itu berikutan prestasi beberapa pemain yang tidak beraksi di tahap yang terbaik ketika berdepan Sang Kenari yang kelihatan wajar untuk digugurkan.
Di samping itu, prestasi dan situasi luar padang yang dialami skuad Hang Tuah perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu skuad The Red Giants menambah baik kedudukan mereka dalam carta liga.
Khairulazhan Khalid
Khairulazhan Khalid sememangnya dikenang sebagai salah seorang penjaga gol yang berpotensi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pemain terbaik dalam posisi itu.
Setelah dipilih sebagai penjaga gawang terbaik pada tahun 2014, Khairulazhan terus menampilkan prestasi yang konsisten ketika bersama Pahang FA.
Minit-minit permainan yang dimilikinya ketika bersama skuad kebangsaan juga tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi dengan persaingan hebat untuk posisi itu dengan kapten pasukan, Farizal Marlias.
Musim ini, peluang Khairulazhan sedikit terjejas apabila staf kejurulatihan lebih percaya dengan khidmat penjaga gol kelahiran England, Sam Sommervile meskipun pemain itu baru sahaja menyertai The Red Giants.
Penyokong berpendapat Khairulazhan perlu diberi lebih banyak peluang. — Facebook/Selangor FC
Perkara itu dapat dilihat apabila penjaga gawang kelahiran Pahang itu tidak lagi diturunkan sejak dibolosi sebanyak lima kali ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT).
Oleh itu, penyokong berasakan Khairulazhan wajar diberikan peluang yang lebih baik dalam kesebelasan utama untuk menggantikan Sommervile berikutan persembahan ketika bertemu KDA FC.
Peminat bola sepak tanah air, Zumaire Hasan berkata, Nidzam Jamil sewajarnya menggilirkan pemain di posisi tersebut kerana Khairulazhan kelihatan lebih cemerlang setiap kali diturunkan.
"Penjaga gol Selangor FC tidak cemerlang, Khairulazhan lebih bagus daripadanya. Saya pun pelik kenapa penyokong lain mengatakan bahawa Sommervile lebih baik daripada Azhan.
"Saya pun nampak bahawa tahap reaksi Sommervile tidak bagus dan dua gol awal itu jelas kelihatan seperti kesilapan penjaga gol dan pemain pertahanan," katanya.
Persoalannya, adakah Khairulazhan akan diberikan peluang bagi baki perlawanan setelah dia tidak diturunkan sejak Jun lalu yang semestinya memberi kesan kepada kemampuan pemain itu di atas padang.
Nor Hakim Hassan
Pemain muda, Mukhairi Ajmal merupakan salah satu tonggak Selangor FC musim ini walaupun masih sahaja berusia 20 tahun berikutan prestasi dan sumbangannya yang memberangsangkan.
Selain itu, pemain sayap kanan, Quentin Cheng juga dilihat sebagai seseorang yang tidak boleh digantikan apabila larian dan kelincahannya memberikan kelebihan buat skuad The Red Giants.
Namun, dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, persembahan yang ditampilkan dua pemain itu kelihatan tidak memberi impak yang sewajarnya untuk memacu serangan.
Penggiliran dilihat sebagai satu pilihan yang boleh dibuat staf kejurulatihan bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pemain simpanan dalam baki-baki perlawanan liga.
Norhakim Hassan wajar diberikan lebih banyak peluang musim ini. — Instagram/hakimhassan18
Antara pemain yang wajar diberi peluang ialah Nor Hakim Hassan yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Selangor meskipun memiliki statistik yang memberangsangkan.
Tiga gol yang dijaringkan serta satu hantaran yang dibuat pada awal musim memberi bayangan bahawa dia perlu diberikan minit-minit permainan yang lebih baik.
Dalam pertembungan dengan skuad Sang Kenari pula, Nor Hakim hanya diberikan 30 minit untuk menghasilkan sebarang impak apabila pasukan itu sudah ketinggalan.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penyokong, Zuraime Hassan sekali lagi berkongsi pendapatnya untuk melihat Norhakim perlu diturunkan dengan lebih awal.
"Nor Hakim Hassan itu setelah dia masuk nampak jugalah ada impak dalam barisan serangan tetapi sayang, pemain lain pula yang tidak kelihatan untuk menerima hantaran," katanya.
Tambahan pula, dengan Mukhairi dan kapten, Brendan Gan dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan, peluang buat Nor Hakim kelihatan terbuka untuknya menampilkan kebolehan atas padang.
Hyuri
Kehadiran penyerang, Herlison Caion tidak sepenuhnya menggembirakan penyokong walaupun dia sudah menjaringkan 13 gol selain menghidangkan empat peluang yang disempurnakan rakan sepasukan.
Ia dikatakan kerana pemain kelahiran Brazil itu sering mensia-siakan penguasaan bola dan tidak melakukan larian yang boleh memberi kelebihan kepada Selangor FC.
Namun, di sebalik perasaan kurang senang ke atas pemain import itu, kelibat seorang lagi rakan senegara Caion yang dirindui apabila sudah lama tidak kelihatan di atas padang.
Kali terakhir Hyuri diturunkan adalah ketika menentang PJ City FC. — Instagram/hyuri_henri
Hyuri Henrique, atau lebih dikenali sebagai Hyuri merupakan seorang lagi penyerang yang dibawa masuk pada Januari lalu untuk menambah baik kemampuan serangan The Red Giants.
Meskipun hanya menjaringkan tiga gol liga dan lima secara keseluruhan, ramai yang seolah-olah terlupa adanya Hyuri dalam skuad apabila turut tidak tersenarai dalam barisan simpanan.
Peminat bola sepak, zriiqfarz._ menerusi Instagram berkata, pemain berusia 30 tahun itu lebih bersemangat dan membuat sumbangan berbeza buat pasukan secara keseluruhan.
"Hyuri tu rasanya sudah lama tidak bermain, berilah peluang untuknya bermain dengan menggantikan Caion. Sekurang-kurangnya, dia sering turun untuk mendapatkan bola dan membantu pemain tengah," katanya.
Namun, Nidzam Jamil pastinya sukar untuk membuat pilihan apabila Caion sudah menjaringkan dua gol ketika berada di bawah kendaliannya dan perkara itu tidak akan diambil remeh.
Selain itu, susuk tubuh penyerang berjersi no. 10 itu menjadi aset utama buat pasukan apabila dia boleh menahan asakan benteng pertahanan sekaligus membuka ruang kepada rakan sepasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram