'Impossible' hints Faisal Halim tidak akan bersama TFC?


  • Podium
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Faisal berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika membenam Penang FC. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC terus diselubungi kesuraman berpanjangan setelah tewas kepada Johor Darul Takzim 1-3 pada perlawanan final Piala FA pada 10 September lalu.

Biarpun beraksi cemerlang apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas Penang FC pada perlawanan Liga Super pada Rabu, namun skuad tersebut tidak dapat berpesta.

Ini rentetan kenyataan Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yang memberikan bayangan beliau akan berhijrah bersama pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Lebih mengukuhkan lagi kenyataan apabila sehingga kini pengendali kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu belum lagi 'diikat' TFC Sdn Bhd bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

Bagaimanapun selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengesahkan bahawa peluang Nafuzi untuk kekal membimbing skuad tersebut masih terbuka.

Wan Sukairi berkata demikian setelah kerajaan negeri masih belum menerima sebarang cadangan daripada pengurusan tertinggi TFC Sdn Bhd berhubung calon ketua jurulatih yang akan membimbing skuad Penyu musim depan.

Tangkap layar balasan Faisal kepada muat naik peminat yang mahu dia dan Nafuzi kekal.

Jika Nafuzi pergi, dia dijangka akan mengheret beberapa pemain termasuk pemain sayap lincah kesayangan pemain-pemain TFC, Faisal Halim yang dikatakan sedang mempertimbangkan hala tujunya musim hadapan.

Rata-rata peminat TFC cuba 'memujuk' pemain yang terkenal dengan jolokan 'Mickey' tersebut apabila sering berkongsi pujian kepada pemain menerusi laman Instagram peribadinya.

Namun, dalam satu muat naik IG story terbaharu, pemain tersebut seakan-akan memberi isyarat bahawa dia tidak akan bersama skuad tersebut lagi musim hadapan.

Satu hantaran peminat yang meletakkan gambar penyokong skuad Penyu beserta bendera Terengganu dengan tulisan Nafuzi Stay (Nafuzi kekal) dan Mickey Stay (Mickey kekal) mendapat balasan Faisal.

Peminat tersebut memuat naik gambar tersebut diiringi dengan muzik latar lagu Impossible (Tidak Mungkin) lantunan James Arthur.

Berserta emoji sedih dan tanda 'ampun', pemain berasal dari Pulau Pinang itu seakan-akan memberi isyarat bahawa dengan berat hati dia terpaksa memilih haluan berbeza pada musim hadapan.

Terdahulu, Faisal pernah memberitahu bahawa dia akan mengumumkan keputusannya sama ada akan kekal di TFC atau menerima tawaran pasukan lain selepas final Piala FA.

Antara pasukan yang sah berminat menyunting pemain berusia 24 tahun tersebut adalah Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram