Yusri Che Lah sebak, hargai sokongan tidak putus fans TBG


  • Podium
  • Ahad, 18 Sep 2022

Yusri Che Lah bakal memimpin skuad B-23 Perak FC di liga simpanan musim depan. — Facebook/Perak FC

PELANTIKAN Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih terkini Perak FC memberi kegembiraan kepada penyokong yang berasakan langkah itu bakal membawa babak baharu buat The Bos Gaurus.

Teong Kim yang sebelum ini menjadi jurulatih remaja Bayern Munich dan pasukan kebangsaan B-16 sememangnya menjadi buruan beberapa kelab Liga Malaysia kerana atas reputasinya itu.

Selain itu, kemampuannya untuk mengasah bakat pemain muda meningkatkan lagi tarikan pengendali kelahiran Melaka itu meskipun dia dikenali dengan permintaan gaji yang tinggi.

Oleh itu, tidak salah untuk mengatakan bahawa penyokong sudah tidak sabar untuk melihat kelibat Teong Kim di kawasan teknikal musim depan, lebih-lebih lagi dengan perubahan format liga yang membolehkan mereka beraksi di samping pasukan lebih hebat.

Dalam masa sama, ketua jurulatih sebelum ini, Yusri Che Lah dilaporkan bakal membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) yang bakal beraksi di liga simpanan musim depan.

Meskipun Perak FC berada dalam keadaan yang tidak memberangsangkan musim ini, kehadiran Yusri ketika pasukan itu berada dalam pergolakan membangkitkan lagi namanya dalam kalangan penyokong.

Perkara ini dapat dilihat menerusi perlawanan akhir Liga Perdana 2022 ketika bertemu Kuching City FC apabila pengendali kelahiran Perlis itu kelihatan sebak sambil penonton yang hadir ke Stadium Perak menyorak namanya.

"ALLAH dah tentukan perjalanan hidup saya, saya terima kasih banyak dengan bantuan semua yang ada... selamanya," katanya kepada penyokong dengan penuh beremosi.

Video yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @fidraz itu jelas menerima sokongan peminat bola sepak tanah air apabila sumbangan Yusri bersama Perak FC serba sedikit membantu pasukan itu.

Sepertimana yang dikatakan iin3, semangat dan keazamannya untuk membimbing The Bos Gaurus yang dilanda musibah perlu diberi perhatian dan penghargaan secukupnya walaupun tidak membawa pasukan itu ke tahap terbaik.

"Walaupun Yusri tidak sehebat yang lain, tetapi semangat dia hebat dan dia tidak pernah mengabaikan pemain-pemainnya daripada segala hal meskipun gaji tidak cukup," katanya.

Perkara itu disokong Penyu Tersakiti yang melihat ketua jurulatih itu cekal memikul tanggungjawab yang diberikan tanpa memberi sebarang alasan yang tidak munasabah.

"Anda sudah melakukan tugas yang cukup baik, Yusri kerana anda ialah seseorang yang sanggup menjadi ketua jurulatih tatkala pasukan ditimpa masalah dan masih menjalankan tanggungjawab," katanya.

Hidzer Aoki pula berharap agar pengendali berusia 46 tahun itu terus membawa kejayaan semasa bersama Perak FC B-23 seperti mana yang dilakukan bersama The Bos Gaurus musim ini.

"Segala penghormatan atas tanggungjawabnya selama bersama Perak FC, moga Yusri Che Lah berjaya untuk memimpin skuad B-23 selepas ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram