KETUA jurulatih baharu Perak FC, Lim Teong Kim enggan menjanjikan 'bulan dan bintang' untuk skuad The Bos Gaurus itu dalam menghadapi saingan 18 pasukan dalam kempen Liga Super musim 2023.
Katanya, buat masa ini, pihaknya masih meneliti dan mengenal pasti pemain sedia ada untuk saingan musim depan malah ada beberapa pemain sudah berada dalam radar pemilihan pemain skuad tersebut.
Bagaimanapun, pengendali berusia 59 tahun itu menjelaskan barisan kejurulatihan baharu akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan skuad tersebut memberi persembahan terbaik musim depan.
Teong Kim berkata, demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama pengurusan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu.
Melalui penstrukturan Liga Malaysia (Liga M), hanya 18 pasukan menyertai dalam saingan Liga Super manakala Liga Premier dihentikan sementara bermula musim depan.
Di samping itu, Liga Simpanan diperkenalkan musim depan melibatkan kesemua pasukan Liga Super 2023 perlu menyediakan skuad Bawah 23 tahun masing-masing.
Teong Kim, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich, mengikat kontrak dua tahun dengan pilihan memperbaharui untuk setahun lagi bagi mengemudi skuad The Bos Gaurus.
Sementara itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata, masih terlalu awal untuk menilai tahap dan kemampuan Teong Kim.
"Kebiasaannya mengikut jadual barisan kejurulatihan akan bersedia seawal 45 hari sebelum sesuatu liga bermula dan kita sasarkan berada di pertengahan Liga Super pada tahun hadapan, kita tidak sasarkan lebih dari itu.
"Bagi dia (Teong Kim) masa, dia tahu apa dia buat dan jika dapat lebih daripada itu maka dikira bonus, tak semestinya kita bawa dia, kita boleh menang semua piala," katanya.
Katanya, pelantikan Teong Kim sebagai satu langkah positif dan akan memberikan satu kelainan, kerana beliau mempunyai perancangan buat skuad Perak FC. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram