KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) terus mencatatkan kemenangan buat kali ketiga berturut-turut selepas berjaya menundukkan The Red Giants dalam pertemuan di Stadium Darul Aman pada Rabu malam.
Kejayaan yang berpunca daripada jaringan penyerang Ronald Ngah, Marc Vales dan Fayadh Zulkifli memastikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak membawa tiga mata berharga pulang.
Meskipun Selangor FC cuba bangkit pada separuh masa pertama menerusi jaringan Herlison Caion pada minit ke-33, kecemerlangan dan kekentalan barisan pertahanan menyekat segala serangan yang dilancarkan.
Perkara itu pasti memberi kelegaan kepada penyokong Hijau Kuning yang sebelum ini hampa dengan prestasi terumbang-ambing yang dicatatkan skuad Sang Kenari dalam siangan Liga Super.
Penyingkiran di tangan PSM Makassar daripada saingan Piala AFC 2022 memberikan lagi tekanan kepada staf kejurulatihan dan pihak pengurusan setelah kesukaran untuk mengulangi kejayaan pada musim-musim sebelum ini.
Sementara itu, perlawanan tersebut turut mencuri tumpuan apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor membuat satu hantaran ringkas di Facebook peribadinya.
Tulisan yang dibuat pada Rabu malam itu mengatakan pemain-pemain import KDA FC mempunyai kebolehan untuk bertutur dalam loghat negeri tersebut.
Hantaran yang dibuat Presiden KFA, Mohammad Sanusi Md Noor selepas tamat perlawanan. — Facebook/Muhammad Sanusi Md Noor
"Hang ni awat, hang pasai paaa, awat depa koyak taktau," tulisnya ringkas.
Perkara itu mendapat respons yang pelbagai di ruangan komen dengan sebahagian daripada penggemar bola sepak tempatan melihat hantaran Menteri Besar Kedah itu adalah satu bentuk jenaka.
"Kalau Menteri Besar Kedah melawak, itu biasalah dengan orang ramai, terutama penyokong. Jadi, janganlah kita terambil hati," kata MohamadBasir Basir.
"Jarang-jarang kita dapat lihat orang kenamaan ini suka bergurau senda dengan masyarakat sepenuhnya. Jadi, kita ini janganlah terasa hati," kata Muhammad Azhar Mohd Razali.
Bagaimanapun, sebahagian respons mengatakan beliau masih tidak boleh menerima kejayaan yang dicatatkan Harimau Selatan kerana tidak henti-henti melakukan hantaran sebegitu.
"Awak tu yang 'koyak' nampaknya, sikit-sikit hendak mengusik Johor Darul Takzim (JDT). Jika memang hendak memecah belahkan masyarakat, janganlah menjadi wakil rakyat, buat malu sahaja," kata Kom Kom.
"Janganlah kita menggunakan sukan sebagai wadah untuk mencetuskan pergaduhan dengan menimbulkan faktor kenegerian, lebih-lebih lagi dari seorang Menteri Besar.
"Saya sebagai rakyat Johor, dahulu cukup hormat dengan Tuan, tetapi sekarang, apabila perkara sudah kelihatan sebegini, saya pun tidak tahu apa hendak dikatakan," kata Rafidah A Rahman.
Sebelum ini, ucapan tahniah Presiden KFA itu terhadap kejayaan JDT menjulang trofi Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan bualan hangat.
"Tahniah JDT kerana menang Piala FA semalam, sayangnya kerana pemain JDT tidak pandai cakap Johor," tulis beliau di laman Facebook peribadi baru-baru ini.
Catatan itu seakan-akan satu bentuk sindiran yang dibuat kepada skuad Harimau Selatan yang dibarisi rata-rata pemain naturalisasi dan import dalam kesebelasan utama di perlawanan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram