Kekok, cuak, berdebar — Daud Bakar kongsi pengalaman pertama sarung jersi


  • Podium
  • Ahad, 11 Sep 2022

Pengalaman menyarung jersi dalam bilik persalinan membuatkan Mohd Daud memahami tanggungjawab serta bebanan yang perlu dipikul sebagai pemain. — Facebook

PEMILIK baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkongsi pengalamannya bermain bola bersama legenda Kedah termasuk Tan Cheng Hoe dalam pertemuan antara pasukan Legend Kedah dan Sinar Super Lawak di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Daud berkata, di sebalik keterujaan dapat bermain bersama dengan veteran Kedah, jauh di sudut hatinya, beliau berasa takut dan cuak yang amat sangat.

Pengalaman menyarung jersi dalam bilik persalinan membuatkan beliau rasa sangat berdebar kerana memahami tanggungjawab serta bebanan yang perlu dipikul sebagai pemain.

Ini kerana beliau mengakui tidak mempunyai minit permainan dalam mana-mana pertandingan sebelum ini.

"Rasa jantung jatuh tergolek atas tanah. Baru tahu berat bebanan menjadi seorang pemain. Lebih mengerunkan, mereka paksa saya jadi kapten. Saya menyedari ini tanda penghormatan kepada saya. Berat sangat.

"Saya kena cerita juga pergalaman saya bila kali pertama masuk dalam bilik persalinan pemain. Kepada bekas pemain, mereka dah biasa sangat. Natural. Saya rasa kekok. Cuak. Berdebar. Teruja juga dapat jumpa bekas pemain-pemain Kedah yang hebat dari pelbagai generasi, umur serta bangsa," katanya.

305970692_658811478945827_8194888681060788309_n

Daud mengakui tidak mempunyai minit permainan dalam mana-mana pertandingan sebelum ini. — Facebook

Tambah Daud, beliau sebolehnya mahu mengundurkan diri dan hanya ingin menjadi penonton pada perlawanan itu, namun dia tabahkan diri untuk meneruskan permainan.

"Saya mula menyarung kasut bola sambil melihat seorang demi seorang bekas pemain Kedah dari jauh. Ahmad Sobri. Ahmad Ramli. Tan Cheng Hoe. Fariza. Faruk. Salihin. Ramai lagi.

"Saya mula bermimpi nak rapat diri dengan ikon-ikon ini. Memang saya tidak pandai bermain bola. Tapi berada bersama mereka akan mempercepatkan proses kematangan dan kemahiran. Ini mimpi saya," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Daud diumum sebagai pemilik KDA FC pada 5 September lalu. Beliau yang sebelum ini menjadi penaung buat KDA sejak 2021, kini menjadi pemilik kelab utara Malaysia tersebut dengan saham terbesar dan bersedia melangkah lebih maju. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram