IBARAT perlawanan akhir Piala FA 2022, Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu malam.
Pertembungan itu bagaimanapun menyaksikan perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan sebaik sepak mula bagi memburu gol pembukaan.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-32 menerusi sepakan deras oleh Bergson da Silva.
Tersentak dengan jaringan itu, TFC terus menggandakan asakan bagi menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan.
Fernando Forestieri melepaskan satu rembatan kencang ke arah gawang gol lawan. — Facebook/JDT
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan apabila Fernando Forestieri melepaskan satu rembatan kencang ke arah gawang gol lawan.
Skuad Sang Penyu selepas itu cuba bangkit melalui jaringan gol sepakan percuma oleh Hakimi Abdullah yang menewaskan Farizal Marlias.
Perlawanan semakin panas apabila berlaku beberapa insiden kekasaran yang berlaku di antara kedua-dua pemain pasukan.
Pada masa sama, timbul pertikaian penonton di stadium apabila pemain JDT, Nathaniel Shio Hong Wan tidak dikenakan layangan kad kuning kedua oleh pengadil bertugas apabila dia mengasari Syafik Ismail pada minit ke-75.
Kedua-dua pasukan masing-masing juga tidak menunjukkan kepenatan apabila rancak silih berganti memburu gol selepas itu.
Penyokong tuan rumah tidak berpuas hati dengan sikap Leandro yang sering menjatuhkan badan. — Facebook/JDT
Dalam ruangan komen Facebook, rata-rata penyokong TFC tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada Hong Wan dan ada juga yang tidak berpuas hati dengan sikap Leandro yang sering menjatuhkan badan.
"Berat betul pengadil Malaysia ini, sliding tackle dua kaki macam itu tak kena kad lagi? Lawak betul pengadil Malaysia ini," kata Mizan Zakaria.
"Referee penakut betul, patutnya Hong Wan itu kena kad merah itu, Syafik Ismail siap terbang lagi bila kena tackle," jelas Coca Chola.
"Leandro, kena tolak sikit jatuh, tackle sikit jatut lutut lembik betul, ingatkan JDT ini tak suka delay game rupanya sama sahaja," ujar Man Nik.
Dengan keputusan itu, Terengganu jatuh satu anak tangga di kedudukan ke-6 Liga Super dengan mengumpul 17 mata, manakala JDT terus berada di puncak liga dengan 38 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram