PASUKAN berpangkalan di Pantai Timur, Kelantan FC memerlukan seramai sembilan pemain import sebagai persediaan saingan Liga Super pada musim hadapan.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh pemilik skuad The Red Warriors (TRW) Norizam Tukiman ketik sidang media selepas majlis menandatangani penajaan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, Kelantan, Ahad.
"Dari segi persiapan pemain, kita bukan kelab yang membeli pemain bertaraf bintang namun kita menggilap dan melahirkan bintang, jadi kita akan berhemah dari aspek ini.
"Saingan Liga Super musim depan, kita perlukan sembilan pemain import, jadi kita akan mencari pemain-pemain yang lebih berkualiti untuk memperkuatkan jentera Kelantan FC,” katanya.
Norizam ataupun lebih mesra disapa Zamsaham itu berkata, sebagai kelab yang bukan mewah, pasukan itu mengamalkan prinsip berbelanja secara berhemah dalam persiapan menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Pada majlis itu Norizam menerima replika cek penajaan bernilai RM800,000 daripada syarikat kosmetik, Skin Dessert yang diserahkan oleh pengasasnya Mohd Aliff Ab Kadir.
Kelantan FC ketika ini berada di puncak Liga Premier dengan mengumpul 36 mata dan dua baki perlawanan lagi akan menentukan sama ada pasukan itu bakal bergelar juara musim ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram