
BERHASRAT untuk melahirkan pemain muda berkualiti di masa depan, pemilik Kelab Bola Sepak Kelantan (TRW Kelantan FC), Norizam Tukiman merancang untuk membina sebuah akademi bola sepak bertaraf antarabangsa di negeri itu.
Norizam ataupun lebih mesra dengan panggilan Zamsaham berkata, beliau mengutamakan individu yang mempunyai visi dan misi sepertinya untuk mengendalikan akademi bolanya itu.
Usahawan burger itu berkata, beliau kini dalam proses menilai beberapa calon yang sesuai untuk mengisi jawatan sebagai pengetua akademi tersebut.
"Masih menilai calon yang sesuai untuk kendalikan akademi itu. Lebih 50 permohonan untuk jadi pengetua.
"Saya cari orang yang ada visi dan misi macam saya," katanya kepada Majoriti saat bercakap mengenai kriteria yang dicarinya dalam memilih pengetua akademi itu.
Malah, Norizam juga mendedahkan bahawa Akademi Bola TRW itu akan menandatangai memorandum persefahaman (MoU) bersama sebuah akademi bola di Indonesia dan majlis berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Kelantan kini kekal sebagai pendahulu Liga Perdana dengan 35 mata. — Facebook Kelantan FC
Menurutnya, akademi bola itu juga akan menjalinkan kerjasama bersama kelab Liga Portugal divisyen dua.
Berbicara mengenai senarai pemain impiannya untuk bersaing dalam Liga Super musim hadapan, Norizam berkata, bahawa buat masa ini beliau enggan memikirkan perkara itu, sebaliknya ingin memberi fokus terhadap baki saingan Liga Perdana.
"Saya nak selesaikan dulu Liga Perdana ini. Kita ada impian di musim depan. Boleh merancang tapi kena fokus apa yang ada dekat tangan sekarang. Saya nak fokus dulu. Habiskan baki perlawanan dulu," jelasnya.
Bakal melayan kunjungan Terengganu II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad, TRW komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu Liga Perdana pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram