
KEHANGATAN pertemuan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Urawa Red Diamonds dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), di Stadium Saitama, Jepun pada Jumaat malam semakin mendebarkan.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio dalam sidang akhbar memaklumkan bahawa anak-anak buahnya sudah menyesuaikan diri di Jepun dan melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan pasukan ke pusingan 16 terbaik kejohanan antarabangsa itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemain tengah menyerang (AM), Leandro Velazquez digantung untuk perlawanan tersebut dan beberapa perubahan dilakukan di bahagian tengah.
Pada masa sama, beliau memberi bayangan mungkin akan menggunakan kombinasi Natxo Insa, Afiq Fazail dan Nazmi Faiz di posisi tengah dalam cabaran getir itu.
Natxo Insa mungkin akan diturunkan di bahagian tengah pasukan. — Facebook/Johor Southern Tigers
"Natxo Insa kembali berlatih tetapi sudah tidak bermain hampir sebulan manakala Jordi Amat pula sedang meningkatkan kecergasan dirinya," katanya Hector seperti dimuat naik laman rasmi Johor Southern Tigers pada Khamis.
Perkhabaran itu pastinya meresahkan penyokong bola sepak tempatan khususnya peminat JDT yang mahu menyaksikan aksi lincah Leandro di atas padang.
Ini kerana import dari Argentina itu bertindak sebagai jentera yang menggerakkan bahagian tengah selain mampu mencetak gol buat Harimau Selatan.
Leandro juga sangat serasi dengan duo peledak JDT, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva yang sentiasa melakukan larian-larian berbahaya hingga sukar dirantai pihak lawan.
JDT akan bertemu Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama pada Jumaat. — Facebook/Johor Southern Tigers
Salah seorang penyokong JDT, Izam Izam berkata, Leandro memang bagus di posisi tengah menyerang namun peminat perlu akur dengan ketiadaannya kerana pemain berusia 33 tahun itu mengumpul dua kad kuning dalam peringkat kumpulan.
"Harap Nazmi sebagai pengganti dapat terjemahkan sesuatulah setanding kemampuan Leandro. Apapun tanpa Leandro, bahagian tengah JDT mesti suram," katanya.
"Aduh tak ada dia (Leandro) bezalah rentak JDT...dia betul-betul penting," ujar Elisman Yazid Rusni.
Sarman Supar berkata, ketiadaan Leandro pastikan akan menjejaskan corak permainan JDT.
"Leandro tiada malam esok (Jumaat) agak pincang juga tu (sebab) dia pakar free kick dan berpengalaman luas sejak JDT bergelar juara AFC 2015," katanya.
"Aduh...game kurang seda lah takde budak nakal ni," ujar Mohamad Nadhir Tahir.
Nazmi dirasakan okey sebagai pengganti namun mobiliti pemain itu mungkin tidak menyamai Leandro. — Facebook/Johor Southern Tigers
Sementara itu, Afiq Rowley berpendapat, Nazmi okey sebagai pengganti namun mobiliti pemain itu mungkin tidak menyamai Leandro.
"Mobiliti Nazmi rendah sikit daripada Leandro ni. Still sharp shooter," katanya.
"Cadangan jurulatih masukkan Jordi Amat dan Nazmi memang tepat sekali. Kita perlukan larian pantas sebab ini bukan calang-calang punya level," kata Arshad Said.
Pada April lalu, JDT memahat sejarah apabila layak ke pusingan kalah mati dalam saingan ACL buat pertama kali sejak menyertai kejohanan berprestij Asia itu secara automatik pada 2019.
JDT meraih kejayaan tersebut selepas menewaskan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram