DEMAM dan kecederaan yang dialami sebahagian pemain Sarawak United FC tidak mematahkan semangat mereka untuk berdepan pencabar, Petaling Jaya (PJ) City FC dalam saingan Liga Super pada Rabu.
Mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan sebagai pasukan tuan rumah, skuad Ngap Sayot tekad untuk berhabis-habisan pada perlawanan terakhir sebelum perlawanan seterusnya yang hanya akan berlangsung bulan depan.
Ketua Jurulatih Sarawak United, S. Balachandran berkata, skuadnya sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pasukan dari Semenanjung itu.
"Walaupun ada kelebihan di laman sendiri, Sarawak United menghadapi cabaran lain sebab ramai pemain masih dibelenggu kecederaan dan ada yang demam.
"Tetapi disebabkan ini adalah perlawanan terakhir sebelum cuti panjang. Jadi, semua nak 'all out!'," katanya yang senang disapa Bala kepada Majoriti.
Balachandran mahu pemainnya bermain dengan agresif pada aksi Rabu ini. — Facebook/ Sarawak United
Mengulas mengenai kekuatan lawan, Bala tetap mahu berwaspada dengan PJ City memandangkan kedua-dua pasukan itu hanya berbeza satu mata.
"Hanya kerana kedudukan mereka lebih rendah daripada kami, tak bermaksud mereka lebih lemah. Pada saya semua pasukan ada kelebihan masing-masing.
"Oleh itu, kami akan bermain agresif dan gunakan taktikal 'attack' pada perlawanan nanti," jelasnya.
Setakat ini, Sarawak United menduduki tangga ke-10 Liga Super dengan 13 mata yang dikutip menerusi 16 perlawanan.
Sementara itu, PJ City menggenggam 12 mata setelah membuat 15 penampilan sekali gus menduduki tangga ke-11 Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram