Warga Sungai Petani terbalikkan semula Wira terbabas


  • Tular
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

BEBERAPA orang awam yang berada di tempat kejadian bergegas ke kereta tersebut untuk membantu mangsa.

BERKAT keprihatinan dan kerjasama penduduk setempat, sebuah kereta yang berada di dalam keadaan terbalik dapat dibetulkan dengan segera tanpa memerlukan bantuan pihak berkuasa.

Usaha murni itu dipaparkan dalam sebuah video yang tular menerusi Facebook We Are Malaysian dan menerima reaksi positif dari netizen.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan sebuah kereta Proton Wira sedang memasuki simpang kanan sebelum terlanggar pembahagi jalan dan terbalik di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah dalam kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat malam.

Pemandu kereta berkenaan yang merupakan seorang lelaki muda, kemudiannya kelihatan tenang keluar menerusi tingkap kereta sambil memegang telefon.

Pada video yang dirakam menerusi sudut berbeza, dapat dilihat beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian bergegas ke kereta tersebut untuk membantu mangsa.

Majoriti netizen meninggalkan komen di ruangan posting berkenaan dengan memuji tindakan pantas orang awam yang membantu ketika kejadian tersebut berlaku.

"Masyarakat Malaysia sememangnya sangat prihatin, cepat sahaja mereka datang membantu," puji Amri.

Shilah menambah "Tak perlu tunggu lama. Cepat sahaja mereka dapat betulkan balik keadaan kereta itu."

Bagaimanapun, tidak kurang juga netizen yang melihat cara kereta itu terbalik sebagai satu insiden yang aneh dan lucu.

Msab Ab berkata "Inilah yang dikatakan tidak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba kau terbalik."

Zamrawkaholic pula menyambung "Salah divider tu, kenapa pasang atas jalan?"

"Ini video perlahan ke atau cara kemalangan dia slow?" tambah Salam.

Setakat ini video tersebut telah menerima 16,000 tontonan serta 552 reaksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram