Ala samseng jalanan, aksi pemandu 2 'King' cetus kemarahan, ramai desak polis segera cekup


  • Tular
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Kedua-dua Myvi yang saling memintas tersebut berwarna hitam.

GELARAN 'King of the road' sinonim dengan Perodua Myvi kerana 'reputasinya' di jalanraya kadang-kala tidak masuk akal.

Kali ini tular di media sosial video yang memaparkan dua 'King' sedang saling memintas di antara satu sama lain seakan-akan berada di litar perlumbaan.

Dalam video dash cam berdurasi 30 saat yang dikongsi menerusi Facebook We Are Malaysian, kejadian melibatkan dua Myvi berwarna hitam itu dipercayai berlaku di Kota Bharu, Kelantan.

Perbuatan pemandui kenderaan itu berlaku selama beberapa saat sebelum keadaan trafik mula perlahan dan kedua-dua kereta terpaksa berhenti di tengah jalan.

Ketika itu, salah seorang daripada pemandu Myvi, seorang lelaki berbaju merah, kelihatan turun untuk menarik keluar pemandu kereta yang mengejarnya.

Namun malang baginya, keadaan trafik yang kembali lancar membolehkan pemandu Myvi yang masih berada di dalam kereta memintas dan memecut laju.

Video berakhir dengan gelagak kelam kabut lelaki berbaju merah masuk semula ke dalam kereta bagi mengejar kereta tersebut.

Dalam media sosial, rata-rata netizen mengecam tindakan dua pemandu Myvi yang dikatakan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sebahagian netizen turut berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemandu berkelakuan ala samseng jalanan tersebut.

Hamid Ishak Hamid berkata "Macam tidak reti bahasa mereka ini. Dah banyak kali tunjuk dan viralkan tentang samseng jalan raya, masih lagi lakukan benda yang sama.

"Saya mohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak menangkap dua orang ini. Mereka membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Bagilah hukuman paling berat. Sebatan lima kali seorang sebagai pengajaran buat yang lain," katanya.

Fadzrul Fasz menambah "Menyusahkan pengguna lain sahaja. Tak pasal-pasal kami terpaksa tengok aksi tak masuk akal macam ini. Sila bawa kedua-duanya ke balai," katanya.

Setakat ini, video tersebut telah mendapat 25 000 tontonan dan 80 komen.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram