Lelaki dipercayai OKU mental culik murid sekolah di Pasir Gudang


  • 112
  • Rabu, 11 Mei 2022

Suspek merupakan pemegang kad OKU pesakit mental, selain positif dadah jenis methaphetamine.

SEORANG murid yang sedang berjalan kaki diculik seorang lelaki tidak dikenali dengan membawanya menaiki motosikal dalam kejadian di Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang, dekat Johor Bahru, Johor, pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum kejadian suspek yang berusia lingkusan 20-an mempelawa kanak-kanak tersebut untuk menghantarnya pulang ke rumah sebelum berjaya melarikannya.

"Kemudian seorang lelaki membuat panggilan di Balai Polis Taman Scientex pada jam 11.30 pagi memaklumkan suspek sudah ditahan orang awam di sebuah restoran makanan segera di Taman Kota Masai, Johor Bahru, Johor.

"Sepasukan anggota cegah jenayah dari Balai Polis Taman Scientex bergegas ke tempat kejadian dan menahan suspek. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

Menurut Kamarul Zaman, suspek masih dikehendaki polis di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis Johor menasihatkan ibu bapa, penjaga dan pelajar agar lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan.

Pada Rabu, penduduk Pasir Gudang digemparkan dengan kejadian tersebut selepas tular rakaman video dan gambar seorang lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang bewarna putih dan berseluar panjang berjalan sambil mendukung kanak-kanak berkenaan di Taman Kota Masai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram