'Bab saman menyaman hampa laju, bab bagi prestasi team mantap hampa diam'


  • Podium
  • Khamis, 12 Mei 2022

Penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi buruk yang ditampilkan para pemain KDA FC musim ini. — KDA FC

SEJAK beberapa hari ini, tersebar khabar angin mengenai masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain-pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Perkara itu dikatakan menjadi punca prestasi buruk pasukan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan bahawa tiada sebarang tunggakan gaji pemain seperti yang disebarkan dalam kalangan penyokong.

KDA FC dalam satu kenyataan pada Rabu juga berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat kenyataan palsu, spekulasi tanpa asas, bertujuan untuk menjatuhkan imejnya dengan berita sangkaan buruk dan berunsur fitnah.

Menurut ketua pegawai eksekutif KDA FC, Khamal Idris Haji Ali, kenyataan tersebut telah mencemarkan reputasi pasukan, pengurusan dan badan pentadbiran bolasepak di Kedah sehingga memalit sangkaan buruk kepada pentadbiran Persatuan Bola Sepak Kedah.

Bagaimanapun, sebilangan penyokong di media sosial menggesa pihak pengurusan supaya fokus untuk memperbaiki prestasi pasukan terlebih dahulu.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan persembahan hambar yang dipamerkan pasukan sejak beberapa perlawanan terdahulu.

KDA FC hanya mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam lima perlawanan terakhir mereka.

"Bab saman menyaman hampa laju, bab bagi prestasi team mantap hampa diam," kata Zuan Azmi.

"Kalau bab fitnah, biar tindakan tegas kepada penyebar fitnah. Dalam masa sama perlu juga tindakan untuk atasi masalah prestasi pasukan. Nampak sangat pasukan tak capai standard yang ditetapkan," ujar Amirul Choding.

"Pi perbetul team tu... tak payah dok kalut nak saman orang... pandai nak alihkan perhatian," kata Hirzan Halmi.

"Perbetul team bagi elok dulu baru kalut saman orang, team pun tunggang langang," ujar Reece Hyekal.

KDA FC kini mengumpul 13 mata daripada lapan perlawanan, dan merupakan pasukan yang paling banyak bolos dalam liga setakat ini dengan 17 gol.

Selepas ini, Sang Kenari akan turun menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada 17 Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Teleg