'Laos sekarang bukan Laos yang dulu, jangan terciduk sudahlah'


  • Podium
  • Rabu, 11 Mei 2022

Antara aksi ketika skuad B-23 negara tewas kepada Laos dalam kejohanan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja pada Februari lalu.

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara dinasihatkan supaya tidak memandang rendah keupayaan Laos apabila kedua-duanya bertemu dalam acara bola sepak Sukan SEA 2021 pada Rabu.

Rata-rata penyokong bola sepak tempatan mahu anak buah Brad Maloney bermain bersungguh-sungguh supaya tragedi pada kejohanan AFF B-23 sebelum ini tidak berulang kembali.

Skuad B-23 negara pernah dimalukan Laos sebelum ini pada kejohanan AFF B-23 Februari lalu, tewas 2-0 dan 2-1 pada peringkat kumpulan yang menyaksikan terpaksa pulang awal.

Penyokong negara berpendapat bahawa Laos yang dahulunya merupakan skuad belasahan dalam kalangan negara Asia Tenggara kini sudah menampilkan peningkatan.

"Laos sekarang bukan Laos yang dulu, jangan terciduk sudahlah," kata Taming Sari.

Tidak kurang juga penyokong yang mahu pemain-pemain negara membalas dendam dimalukan pada kejohanan yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja itu.

"Langsaikan hutang dengan laos," kata Asyraf Khir.

Malaysia akan turun di Stadium Thien Truong, Vietnam pada pukul 8 malam ini bagi aksi kedua Kumpulan B.

Malaysia kini mengumpul tiga mata selepas menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan pertama Sabtu lalu.

Prestasi Laos pada kejohanan ini pula tidak menentu selepas hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan, seri 2-2 menentang Singapura dan tewas 1-4 kepada Kemboja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram