LEMBAGA Urus Air Selangor (Luas) mengarahkan kilang yang terlibat dalam pencemaran Sungai Kabul, Selangor untuk membuang sebarang bahan pencemaran yang berpotensi menyebabkan gangguan bekalan air.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, bahan cemar itu menyebabkan 463 kawasan terputus bekalan air di negeri itu pada 30 April lalu.
Beliau berkata, ia juga menjadi punca gangguan selanjutnya kepada 472 kawasan di Selangor pada Selasa apabila bahan pencemar dikesan di Sungai Beranang, Selangor.
Kedua-dua kejadian itu mencetuskan penutupan sementara Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir dan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, namun kejadian kedua turut menjejaskan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi, Negeri Sembilan.
Hee berkata, unit peronda Luas mengesan bau diesel di Sungai Berangan pada pukul 2.30 pagi pada Selasa yang dibawa hujan lebat dari Sungai Kabul.
Beliau berkata, agensi itu telah mengeluarkan notis pembersihan kepada pemilik premis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999, manakala Jabatan Alam Sekitar Selangor mengeluarkan arahan berhenti kerja berkuat kuasa 1 Mei lalu.
"Pemilik premis sedang menjalankan kerja-kerja penyingkiran bahan cemar dan sedang membersihkan lubang tambak mengikut prosedur yang telah ditetapkan," katanya.
Setakat 8 pagi pada Rabu, Air Selangor mengumumkan bekalan air di 472 kawasan di Selangor yang terjejas akibat gangguan tidak berjadual itu telah dipulihkan sepenuhnya.
Hee berkata, kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersalah dalam pencemaran air dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan Enakmen Luas 1999.
Lembah Klang telah mengalami gangguan bekalan air yang berulang selama bertahun-tahun akibat bahan cemar di sungai yang memaksa loji rawatan air ditutup. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
