Keluarga penuhi permintaan Mino Raiola, lokasi pengebumian dirahsiakan


  • Podium
  • Khamis, 05 Mei 2022

Mino Raiola ada menyatakan hajat supaya maklumat mengenai majlis pengebumiannya dirahsiakan.

MAJLIS pengebumian ejen bola sepak berprofil tinggi, Mino Raiola akan diadakan secara tertutup tanpa pengetahuan umum.

Menurut laporan media, lokasi pengebumian dan bila majlis itu akan diadakan juga tidak didedahkan kepada umum.

Perkara itu dilakukan atas kehendak ahli keluarga dan atas permintaan Raiola sendiri yang menyatakannya pada bulan terakhir sebelum dia meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Untuk rekod, Raiola dimasukkan ke hospital di Milan pada bulan Januari dan menjalani pembedahan kecil, tetapi ahli keluarganya enggan mendedahkan penyakit yang dialami ejen bola sepak itu.

Pada Khamis minggu lalu, terdapat khabar yang mengatakan telah meninggal dunia namun dinafikannya.

Raiola ialah 'ejen super', yang mewakili beberapa pemain bola sepak berprofil tinggi.

Antara kliennya dari dahulu hingga kini termasuk Ibrahimovic, De Ligt, Pogba dan Lukaku serta pemain seperti Mario Balotelli, Hirving Lozano, Henrikh Mkhitaryan, Moise Kean, Blaise Matuidi dan Lorenzo Insigne. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram