Peniaga patuh larangan ditimpa malang, kanopi ranap akibat ribut, penjelasan Majlis Daerah Rompin dituntut


  • Tular
  • Khamis, 05 Mei 2022

Barangan peniaga Bazar Raya Teluk Gading yang berterabur akibat diterbangkan angin kencang. — Facebook

NASIB peniaga malang di Bazar Raya Teluk Gading, Kuala Rompin, Pahang yang menjadi mangsa angin ribut dalam kejadian pada 1 Mei lalu menjadi bualan di media sosial ekoran nasib mereka yang kononnya dipandang sepi.

Seorang pengguna Facebook, Zam Zahriss mempersoalkan tindakan susulan daripada pihak Majlis Daerah Rompin (MDR) mengenai kejadian angin ribut serta hujan yang melanda bazar raya berkenaan.

"Kerosakan kanopi serta barangan jualan peniaga dalam 80 peratus peniaga di situ.

"Apakah ada ganti rugi daripada pihak MDR?" persoalnya melalui satu perkongsian di Facebook Warga Kuala Rompin, Pahang (Official).

zam

Status perkongsian Zam di Facebook Warga Kuala Rompin, Pahang (Official). — Facebook

Zam mendakwa, dia dimaklumkan semua peniaga di situ dilarang memaku baji besi untuk mengikat tiang kanopi dan sesiapa yang didapati berbuat demikian akan disaman sebanyak RM500 untuk sebatang baji.

"Jadi, apa respons daripada pihak MDR. Kalau dibenarkan memaku tiang-tiang kanopi tersebut, saya rasa tidaklah separah kerosakan yang berlaku tu," katanya yang turut menyertakan beberapa keping gambar ketika kejadian.

Perkongsian gambar-gambar itu menunjukkan keadaan kanopi yang ranap dan barangan peniaga berterabur akibat diterbangkan angin kencang.

Katanya lagi, bagaimana pula perancangan MDR pada masa akan datang agar kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi.

"Maksud saya kalau ada angin ribut pun, tidaklah separah seperti yang berlaku ni. Sekian, untuk makluman dan tindakan pihak MDR," katanya.

279859114_5053147391421425_6329418283868155732_n

Keadaan kanopi yang ranap dan barangan peniaga berterabur akibat diterbangkan angin kencang. — Facebook

Roslan Abd Ghani pula berharap pihak MDR mengambil iktibar dan membuat tindakan bagi keadilan kepada peniaga-peniaga Melayu yang gigih mencari rezeki.

"Kerugian bagi peniaga kecil seperti kami sangat besar peratusannya. Seharusnya ada pemantauan mengenai risiko bagi peniaga seperti kami kerana acap kali berlaku dan ini bukan kejadian pertama," katanya.

Majoriti juga cuba mendapatkan maklum balas daripada MDR berhubung isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram