TEKNOLOGI Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) diperkenalkan oleh syarikat pengendali pembayaran dalam talian, Touch 'n Go (TnG) pada September 2018 bagi menggantikan sistem Smart Tag yang dikatakan sudah 'uzur'.
Ketika itu, RFID hanya dilaksanakan secara berperingkat kepada sasaran pengguna tertentu.
Pada 2017, TnG melancarkan e-dompetnya bagi memudahkan orang ramai melakukan pelbagai pembayaran menggunakan perkhidmatan tersebut.
TnG turut membenarkan para pengguna mengintegrasi kad fizikalnya ke dalam aplikasi tersebut.
Namun, malangnya, para pengguna mengeluh apabila perkhidmatan tambah nilai dalam aplikasi berkenaan hanya dikhaskan untuk kegunaan RFID sahaja dan bukannya kad fizikal.
Para pengguna terpaksa mengunjungi kiosk TnG semata-mata untuk tambah nilai wang dalam kad fizikal.
Mendengar rungutan berkenaan, pihak TnG baru-baru ini memperkenalkan kad fizikal generasi terbaharunya dengan sokongan NFC, sekali gus membolehkan para pengguna membuat tambah nilai menerusi aplikasi e-dompetnya.
Kad berkenaan dilaporkan dijual pada harga RM10.
Antara komen warganet di media sosial. — Facebook
Menjengah ruangan komen di media sosial, rata-rata warganet menyifatkan langkah TnG adalah tidak relevan.
"Kalau boleh semak baki kad TnG dekat aplikasi, patutnya tambah nilai terus dekat aplikasi itu pun boleh juga. Ini nak kena beli kad baharu pula," kata pengguna Facebook, Naufal Espiey.
"Patut semua guna kad pengenalan sahaja. Ini nak buat sendiri (kad fizikal) dah kenapa? Menyusahkan orang sahaja," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Abdul Hafis Abdul Rashid.
Majoriti menerima respons daripada pihak TnG dan mereka akan memberi maklum balas dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram