Papan iklan usang, tak ikut spesifikasi bahayakan pengguna lebuh raya


  • Massa
  • Jumaat, 18 Mac 2022

KEADAAN struktur sebuah papan iklan di sekitar Tol Jalan Duta yang menggunakan besi nipis sehingga kesan bengkok kelihatan.

PEMASANGAN papan iklan (billboard) di sekitar jalan raya adalah salah satu cara pengusaha perniagaan meningkatkan populariti jenama mereka dalam kalangan masyarakat.

Papan iklan yang dipasang harus melalui beberapa proses yang ketat sebelum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi yang ditetapkan supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya.

Perkara ini menyebabkan ada sesetengah pengusaha perniagaan yang memilih jalan mudah dengan menaikkan papan iklan yang tidak mengikut spesifikasi.

Tinjauan Majoriti di sekitar Lembah Klang mendapati terdapat banyak papan iklan dipasang tidak mengikut spesifikasi dan ada yang sudah usang dan tidak diselenggara sejak sekian lama.

Papan iklan tersebut kebiasaannya dibina di tanah berhampiran laluan lebuh raya dan strukturnya jelas berbeza dengan papan iklan yang dibina di dalam kawasan lebuh raya yang kelihatan lebih kukuh.

Rata-ratanya dibangungkan dengan struktur yang lebih nipis dan bahagian tapaknya tidak dipasang dengan baik.

Malah terdapat beberapa papan iklan yang kelihatan sudah lama tidak diselenggara menyebabkan pokok menjalar pada bahagian besi dan beberapa bahagian sudah tertanggal dan terkoyak.

Selain itu, terdapat struktur papan iklan yang sudah roboh tetapi tidak dialihkan oleh syarikat pengiklanan yang menaikkannya, mencacatkan pemandangan di sekitar lebuh raya.

Billboard 4

Sebuah papan iklan yang roboh di lebuhraya MEX.

Keadaan papan iklan tersebut dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

Seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Afiq, 29, berkata, dia berasa tidak selamat apabila melalui kawasan yang dibanjiri papan iklan yang tidak mengikut spesifikasi.

Dia yang berulang-alik daripada Cyberjaya ke Kuala Lumpur mendakwa pernah melihat keratan iklan bertebaran di atas jalan dipercayai terkoyak daripada papan iklan.

“Saya lihat ada beberapa billboard yang kelihatan tidak kukuh dan ini boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya ketika angin kuat.

“Bukan sahaja struktur binaannya yang tidak kukuh, tetapi juga bahan yang digunakan untuk paparan iklan juga kelihatan murah dan tidak berkualiti," katanya kepada Majoriti.

Katanya, perkara itu jelas boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya jika ia dibiarkan begitu sahaja tanpa penyelenggaraan yang kerap.

Billboard 5

Keadaan salah sebuah papan iklan di sekitar Serdang yang sudah usang sehingga terdapat tumbuhan menjalar di struktur binaannya dan kesan koyak di bahagian grafik.

Seorang jurutera yang berasal dari Damansara, Muhammad Imran, 35 berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lambakan papan tanda yang sudah usang dan melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Saya yang bergerak ke tempat kerja dengan menunggang motosikal setiap hari ini pastinya lebih risau akan keselamatan saya jika keratan papan tanda itu tiba-tiba tercabut dan jatuh ke atas jalan raya.

“Saya lihat ada billboard yang sudah terkoyak menandakan ia sudah lama tidak diturunkan walaupun sudah melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Saya harap pihak berkuasa lebih peka akan perkara ini kerana ia boleh melibatkan nyawa pengguna jalan raya... kita tak mahu perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Billboard 2

Struktur sebuah papan iklan yang masuk ke kawasan lebuh raya NKVE dan dipacakkan secara tidak kukuh.

Dalam pada itu, seorang pegawai bank, Renusha, 27, menggesa pihak berkuasa supaya melakukan pemantauan secara berkala papan iklan yang dipasang tidak mengikut spesifikasi serta yang sudah tamat tempoh.

Tambahnya, pihak berkuasa harus bertegas terhadap syarikat pengiklanan yang bertanggungjawab menaikkan papan iklan berkenaan supaya perkara itu tidak berleluasa.

"Ini berkaitan keselamatan rakyat, takkan nak tunggu ada kecelakaan baru nak ambil tindakan? Saya cadangkan pihak berkuasa mengenakan denda yang berat kepada syarikat pengiklanan yang bertanggungjawab supaya mereka tak ambil mudah perkara ini.

"Saya fikir mungkin mereka tunggu ada iklan baharu masuk, baru ganti dengan yang lama untuk jimatkan kos, tetapi billboard yang ditinggalkan terlalu lama tanpa penyelenggaraan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Katanya, papan iklan yang usang bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, tetapi merosakkan pemandangan sekitar.

"Sakit mata jugalah tengok papan iklan yang dah lusuh dengan ada bahagian yang sudah terkoyak. Kadang-kadang tu saya tengok ada sampai lima, enam billboard dinaikkan di satu kawasan sama. Ini tentunya boleh mengganggu fokus pengguna jalan raya dan mencacatkan pemandangan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram