Angkara songkok, polis dedah punca guru KAFA rotan pelajar sampai masuk hospital


  • 112
  • Jumaat, 01 Apr 2022

MUHAMAD Idzam (gambar kecil) memberitahu, sebarang bentuk kekerasan ke atas pelajar sekolah dianggap kes serius. — Sinar Harian

POLIS mengesahkan menerima laporan daripada bapa kepada pelajar yang tular mendakwa dirotan oleh seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) sehingga berbirat dan bengkak dalam kejadian di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Kejadian tersebut tular di media sosial selepas satu ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter mendakwa anak buahnya dirotan oleh guru Kafa berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan.

rotan kafa

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhamad Idzam Jaafar berkata, pihak polis menerima laporan tersebut sekitar jam 9.05 malam, Selasa lalu.

"Siasatan awal mendapati, guru terbabit telah merotan pelajar berusia 11 tahun tersebut sebanyak lima kali hingga mengakibatkan badannya mengalami kesan calar dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Guru tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana meminta rakannya yang duduk di bahagian hadapan kelas supaya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, polis cuba mendapatkan keterangan daripada suspek, namun pihak sekolah melaporkan bahawa guru tersebut sedang bercuti dan berada di luar kawasan.

Mohamad Idzam memberi jaminan bahawa siasatan terperinci dan telus akan dijalankan untuk menyiasat dakwaan terbabit.

"Pihak polis ingin menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas pelajar sekolah dianggap kes serius," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram