Kecoh harga jeti kayu RM50,000, margin untung adil kata wakil NGO ini


Jambatan kayu di Bekenu yang mengundang kontroversi kerana harga pembinaannya mencecah RM50,000. — Facebook

BARU-BARU ini, kecoh di media sosial isu harga jeti kayu di Bekenu, Miri di Sarawak bernilai RM50,000 yang disifatkan netizen tidak masuk akal.

Rata-rata warganet menyindir projek jeti kayu sepanjang 15 meter dan selebar satu meter itu tidak sepadan dengan kosnya sebanyak RM50,000.

Bagaimanapun seorang lelaki tampil mempertahankan kos tersebut dengan mengambil kira pengalamannya menyaksikan sendiri kerja-kerja pelebaran di rumah inap desa, Luma Kembara di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah.

"Saya bukan pakar dalam pembinaan menggunakan kayu. Tetapi disebabkan projek pelebaran di Luma Kembara, saya berpeluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana ia dilakukan dan kos yang terlibat.

"Adakah RM50,000 terlalu mahal untuk binaan ini? Ia sebenarnya bergantung kepada pemboleh ubah," kata William Cheah menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut William, kayu itu sendiri tidak murah dengan mengandaikan kebanyakan kayu di Sabah dan Sarawak atau sekurang-kurangnya yang di dalam air adalah jenis Belian (Bulian).

"Pada anggaran kasar, saya merasakan kos bahan itu dianggarkan kira-kira RM10,000.

278265682_10223321792207783_5644214475709414825_n

Pembinaan jambatan kayu di Luma Kembara. — Facebook

"Tetapi sebahagian besar kos juga bergantung kepada lokasi tapak pembinaan. Adakah ia jauh ke dalam? Adakah terdapat tambahan yang diperlukan untuk mengupah pekerja yang betul-betul boleh melakukan kerja itu?

"Bagaimana pula dengan penginapan dan lain-lain jika tiada lokasi untuk menempatkan pekerja. Bagaimana pula dengan logistik untuk bahan dan penyimpanan. Kos peralatan?," katanya.

Tambahnya, keuntungan juga perlu diambil kira dalam pembinaan jeti kayu itu.

"Jika mengambil kira semua perkara tersebut, jambatan kayu ini boleh menelan belanja antara RM30,000 hingga RM40,000.

"Jadi jika ia mencecah harga RM50,000, maka margin keuntungan kira-kira 20 hingga 40 peratus," katanya yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kembara Kitchen.

Kata William, sebagai pihak yang terlibat dalam entiti perniagaan, dia merasakan margin keuntungan itu adalah adil.

"Orang tidak bekerja secara percuma. Kita kadang-kala membuat kesilapan dalam pertimbangan dengan mengira kos dan tidak mengambil kira keuntungan.

"Apa yang saya agak terkejut ialah tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan kerja. Jika ia boleh dilakukan dengan lebih cepat, ia boleh menjadi kos efektif.

"Tempoh dua bulan adalah terlalu lama bagi pendapat saya dan itu memang memainkan peranan dalam menaikkan harga," katanya.

Terdahulu, JKR Sarawak memaklum, tempoh mula projek jambatan di Bekenu itu bermula pada 7 Mac 2022 dan siap lebih awal daripada jadual iaitu pada 1 April 2022.

Katanya, jeti itu dibina untuk menggantikan jeti lama yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram