KELUARGA penyelam warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, yang hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di Mersing, Johor pada Rabu, memohon agar mereka yang mempunyai bot persendirian turut tampil membantu pihak berkuasa dalam Op Carilamat.
Ibunya, Esther Molina, 57, berkata, beliau dan ahli keluarga berada di Johor Bahru untuk turut mencari rakan-rakan yang mempunyai bot, supaya boleh turut membantu pencarian anak perempuan serta dua lagi penyelam warga asing.
"Kita tinggal di Johor Bahru...kita pun cari kawan-kawan yang ada bot dan tolong cari. Lebih ramai orang, lebih banyak mata,” kata warga tempatan itu kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di Mersing, Johor pada Jumaat.
Esther, yang ditemani suaminya Alexandre Molina, 55, dan anak bongsunya, turut optimis yang anak sulungnya masih hidup memandangkan dia seorang yang kuat, selain suka berenang dan sukakan laut, selain ketiga-tiga anaknya sukakan aktiviti air.
"Anak saya merupakan seorang yang kuat, beliau juga pintar. Jadi sekarang kita tunggu sahaja perkembangan pencarian,” katanya yang memandu dari Johor Bahru ke Mersing pada Khamis.
Esther (kiri) bersama suaminya menatap foto anaknya, Alexia.
Menurut Esther, Alexia bersama adik lelakinya berusia 17 tahun ke pulau berkenaan untuk mengambil Kursus Selam Lanjutan.
"Adik lelakinya pada ketika ini masih di pulau itu dan Alexia sepatutnya melaporkan diri di sebuah kolej fesyen di Kuala Lumpur bulan hadapan,” katanya.
Alexia, 18, bersama tiga lagi penyelam dilaporkan hilang di perairan pulau berkenaan tengah hari Rabu.
Kristine Grodem, 35, telah pun ditemui pada Khamis, sementara Alexia bersama anak beranak Adrian Peter Chesters, 46, dan anak lelakinya Nathen Renze Chesters, 14, masih hilang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram