Kisah jurulatih tunai janji terjun sungai ada buaya lepas Sri Aman jadi juara


  • Podium
  • Selasa, 29 Mac 2022

AKSI Awang Putrayusrie dan sebahagian pemain Sri Aman FA terjun ke Sungai Batang Lupar pada 3 Januari lalu. — Facebook

DUA bulan sudah berlalu sejak Sri Aman FA menjuarai Liga SSC-FAS 2021 di Bintulu, Sarawak pada 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, momen pengurus skuad The Sleeping Croc, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, terjun ke Tebingan Sungai Batang Lupar masih segar dalam ingatan penyokong bola sepak setempat.

Apa yang dilakukan Awang Putrayusrie bagai mengulangi sejarah tersendiri yang pernah dicipta bekas jurulatih Sarawak FA, Awang Mahyan Awang Mohamed yang terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok, Kuching selepas skuad Ngap Sayot melangkah ke suku akhir Piala Malaysia pada tahun 1989.

Tindakan Awang Putrayusrie terjun ke Sungai Batang Lupar di Waterfront Simanggang itu adalah untuk mengotakan janji kepada pemain-pemain serta penduduk Sri Aman.

Ini selepas dia membuat kenyataan akan terjun ke Sungai Batang Lupar ketika air pasang benak (berombak) jika Sri Aman FA berjaya mengalahkan Samarahan dalam perlawanan tersebut.

AKSI Awang Putrayusrie terjun ke Sungai Batang Lupar bagi mengotakan janjinya pada 3 Januari lalu. — Facebook

Akhirnya pada 3 Januari lepas, beliau mengepalai beberapa pemain terjun ke sungai itu pada pukul 5.30 petang dengan disaksikan kira-kira 1,500 penyokong sekali gus mendapat liputan meluas media di Sarawak.

Aksi terjunan itu sekali gus menggamatkan suasana di sekitar Tebingan Sungai Sri Aman.

Kejayaan Awang Putrayusrie yang dapat membimbing skuad bola sepak Sri Aman hanya dalam tempoh lapan bulan bagi menjuarai Liga SSC-FAS 2021 itu, amat membanggakan.

Kejayaan tersebut menjadi sejarah tersendiri Sri Aman selepas hampir 30 tahun gagal merangkul sebarang kejuaraan di temasya liga bola sepak negeri itu.

Dalam tempoh sesingkat itu, beliau dikatakan berjaya merevolusikan pasukan berkenaan dan penantian lebih 30 tahun untuk bergelar sebagai juara akhirnya tercapai.

271156713_283462017151958_601153979272950692_n

KENYATAAN Awang Putrayusrie bahawa dia akan terjun ke dalam Sungai Batang Lupar ketika benak jika Sri Aman FA menjadi juara.

Menerusi aksi final Liga Bola Sepak 25 tahun Liga SSC-FAS yang berlangsung di Padang Sintetik BDA, Bintulu, Sri Aman FA telah menewaskan Samarahan FA menerusi gol tunggal penyerang Mohd Adif Salim pada minit ke-67.

"Pada mulanya saya hanya suka-suka dan tiada niat sekalipun untuk terjun ke Sungai Batang Lupar, kalau kami menjuarai Liga SSC-FAS yang seperti mana sedia maklum, sudah tiga dekad (30 tahun) penantian warga Sri Aman mengidamkan kejuaraan ini.

“Sebaik sahaja muncul sebagai juara, saya terpaksa mengotakan janji kepada pemain, peminat dan penduduk Sri Aman untuk terjun ke Sungai Batang Lupar. Alhamdulillah segalanya telah dipermudahkan,” katanya seperti dipetik Utusan Sarawak.

Awang Putrayusrie dilaporkan berkata, kejayaan pertama selepas 30 tahun itu cukup bermakna kerana sebelum ini pasukan Sri Aman telah menempuhi zaman yang ‘malap’ kerana menjadi pasukan sebagai pelengkap jadual.

“Dengan kejuaraan ini saya harap ia menjadi titik-tolak serta pencetus kepada revolusi landskap bola sepak Simanggang dan mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di bahagian ini.

“Kemenangan ini adalah untuk semua warga penduduk Sri Aman, pengurusan dan pemain yang tidak henti-henti menyokong serta memberi sumbangan untuk melihat pasukan ini mencapai kejayaan yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram