'Marc Vales ada kelebihan, sama macam Liridon'


  • Podium
  • Khamis, 31 Mac 2022

VALES menyertai KDA FC pada Januari lalu. — KDA FC

PERTAHANAN import Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tiba dari Andorra, Marc Vales masih belum tampil dalam sebarang aksi kompetitif buat Sang Kenari akibat kecederaan lutut.

Dia yang hadir ke Stadium Darul Aman Januari lalu dengan reputasi tinggi terlepas dua aksi pembukaan Liga Super dan Piala FA sepanjang Mac.

Justeru, ramai penyokong yang sudah mula tidak sabar untuk melihat dia beraksi dan ada yang sudah mempersoalkan sama ada pembelian bintang Andorra itu berbaloi atau tidak.

Kelab penyokong Kedah Kedahan Green Yellow meluahkan pendapat tentang kualiti pemain kelahiran Andorra itu.

Katanya, tidak adil untuk para penyokong mempertikaikan pembelian Vales kerana beliau masih belum beraksi dalam sebarang aksi kompetitif.

"Walaupon ada segelintir penyokong luar dan penyokong kita sendiri yang agak pertikai tentang Marc Vales ni... tak dan (sempat) main dah cedera... beli pemain cedera patut murah.

"Bagi aku... dia dah baik dari cedera sekarang... sebelum kita kritik atau apa pun, bagilah dia peluang main.

"Dia banyak pengalaman... reputasi dia tinggi, pernah bermain di Eropah dan bertembung dengan pemain-pemain ternama dunia.

Tambahnya, kekuatan yang dimiliki pemain itu pastinya memberi tonik tambahan kepada barisan pertahanan KDA FC.

Menurutnya, pemain-pemain muda juga boleh mendapatkan manfaat daripada pengalaman yang dimiliki oleh Vales.

"Dengan apa yang dia ada, aku yakin mampu bagi kelebihan pada pertahanan KDA. Banyak benda budak-budak muda boleh belajar dari dia.

"Liridon dulu sebelum mai (datang) Kedah pun baru baik dari cedera yang panjang... kita tunggu tengok laa," katanya.

Vales sebelum ini mengakui sudah tidak sabar untuk turun memperkuat barisan pertahanan KDA FC dan percaya peluangnya beraksi akan tiba tidak lama lagi.

Beliau juga berharap dapat diturunkan pada aksi Liga Super seterusnya menentang Sri Pahang pada 6 April atau menentang Selangor FC pada 10 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram