‘Ramadan pun pemain Perak FC dah sedih, apatah lagi nak sambut raya’


  • Podium
  • Sabtu, 02 Apr 2022

YUSRI (tengah) dan Perak FC bakal melalui Ramadan yang amat mencabar kerana sudah beberapa bulan tidak menerima gaji. — Perak Football Club

MASALAH tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan Perak FC diketahui sudah berlarutan sejak tujuh bulan lalu.

Memasuki bulan Ramadan pada Ahad, situasi itu dilihat cukup meyedihkan apabila mengenangkan nasib pemain yang mungkin terpaksa mengikat perut kerana tiada wang berbelanja membeli makanan.

Apatah lagi mengenangkan Aidilfitri yang bakal tiba selepas ini, sesiapa pun pastinya merasai kesukaran yang dialami seluruh pemain dan pegawai skuad Seladang.

Seorang penyokong bola sepak tempatan, Abdul Majid Mujilipa turut berkongsi rasa sedih dengan nasib yang menimpa skuad The Bos Gaurus itu.

"Kalau dua bulan tu boleh terima lagi...tapi kalau dah tujuh bulan tu, korban kan sajalah bola tu.

"Kalau dah tiada kelab lain nak pergi, mungkin boleh buat kerja kilang atau pekerjaan lain daripada tiada duit. Tidak lama lagi nak raya dah...," tulisnya di Facebook.

Seorang lagi pengguna Facebook, Mkhalid Mkh berkata, bola sepak negara tidak akan sampai ke mana dan tidak akan maju selagi masalah gaji pemain tidak selesai.

"Saya sendiri pun akan bermain sambil lewa sebab tiada mood. Fikir keluarga di rumah nak sediakan makanan atas meja," katanya.

Salah seorang penyokong Perak FC, Ahmad Souffi menyatakan rasa kagum dengan Ketua Jurulatih pasukan itu, Yusri Che Lah yang setia bersama skuad meskipun dibelenggu masalah gaji.

"Kasihan pada semua pemain dan individu terlibat. Saya sendiri pernah melalui situasi kerja tapi gaji tak dapat," katanya.

komen netz

SEBAHAGIAN komen penyokong Perak FC yang bersimpati dengan nasib pasukan itu. — Facebook

Awang Alifah pula menyuarakan pendapat dengan mencadangkan mungkin pemain boleh membuat bazar sendiri untuk jual makanan bagi menambah pendapatan kelab.

"Berhenti je main. Jangan main, cepat tu selesai. Puasa ni pemain pakat buat bazar jual makanan," tulisnya.

Dalam pada itu, Muhammad Fazi berharap Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia perlu memastikan syarikat yang mahu mengambil alih pasukan mampu dari segi kewangan.

"Kena la pastikan syarikat yang nak urus dan beli pasukan bola sepak negeri mampu dari segi kewangan dan bukan untuk pemasaran (marketing) je," tulisnya.

Terdahulu media melaporkan, Yusri berharap isu gaji yang dihadapi pasukannya dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Menurutnya, beliau tidak sanggup memikirkan masalah yang dihadapi pasukan berkenaan, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan Ahad ini.

Presiden Gabungan Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak, Syamsul Bahrin Putra Ahmad Shibi, juga bersuara mahu Menteri Besar campur tangan berhubung permasalahan yang berlaku dalam Perak FC.

Katanya, pemilik Perak FC iaitu Impact Media & Communication (IMC) telah gagal melunaskan pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai pasukan selama lima hingga tujuh bulan.

Perkara itu menyebabkan pihak Malaysian Football League (MFL) mengeluarkan surat peringatan dan pasukan itu boleh digantung atau disekat penyertaan dalam Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram