Pematuhan SOP makin lemah menjelang fasa endemik


  • Massa
  • Rabu, 16 Mac 2022

PEMATUHAN SOP untuk imbas masuk MySejahtera dilihat semakin lemah dalam kalangan rakyat. — Bernama/Gambar Hiasan

HANYA berbaki kurang dua minggu lagi sebelum Malaysia memasuki fasa endemik Covid-19 selepas lebih dua tahun 'berperang' dengan wabak itu.

Kerajaan sudah menggariskan prosedur operasi standard (SOP) menjelang peralihan penting itu, sekali gus melegakan banyak pihak terutamanya sektor ekonomi untuk beroperasi secara maksimum.

Sebelum ini, rakyat terpaksa akur dengan 181 SOP yang telah ditetapkan kerajaan Malaysia demi membendung wabak maut itu yang kini sudah meragut lebih 30,000 nyawa di negara ini selain menjangkiti hampir empat juta orang.

Susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi peralihan ke fasa endemik pada 1 April, Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengetuai Kuartet Menteri berkata, SOP baharu akan mengandungi 10 keperluan yang akan terus dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, 10 syarat itu termasuk keperluan memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagi pemakaian pelitup muka, rakyat dilihat masih peka dan mengekalkan SOP itu setiap kali keluar rumah, sekali gus sudah menjadi kebiasaan secara umumnya.

Namun apa yang menjadi kebimbangan adalah langkah penting iaitu mengimbas MySejahtera atau MyTrace setiap kali masuk ke premis bagi tujuan daftar kemasukan serta dapat membantu kerajaan mengesan individu yang berkemungkinan dijangkiti virus itu.

Building managements are advised to require all visitors to register their attendance via MySejahtera and record their temperature.

SEORANG pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan suhu terhadap pelawat yang memasuki kawasan kediaman. - Gambar hiasan

Hasil tinjauan Majoriti baru-baru ini mendapati, rakyat sudah mula mengabaikan SOP untuk mengimbas MySejahtera apabila memasuki satu-satu premis terutamanya kedai runcit.

Berdasarkan tinjauan di sekitar Lembah Klang, Majoriti mendapati kesemua pelanggan tidak mengimbas MySejahtera apabila memasuki kedai runcit.

Daripada 10 pelanggan yang masuk, kesemuanya tidak mengimbas aplikasi itu dan terus masuk ke kedai untuk berurusan.

Malah pemilik kedai juga tidak memeriksa atau meletakkan pekerja untuk memastikan setiap pelanggannya mengamalkan SOP tersebut.

Pemerhatian ini dibuat ke atas 10 buah kedai runcit di sekitar Wangsa Maju dalam tempoh dua jam.

Bagi gerai jualan makanan di tepi jalan, Majoriti merekodkan tujuh daripada 10 pelanggan gagal mengimbas MySejahtera sebelum berurusuan.

Pemerhatian ini dibuat melibatkan 10 buah gerai makanan di sekitar Danau Kota, Gombak selama sejam 30 minit.

Bagi premis yang lebih besar pula seperti pasar raya, Majoriti mendapati tujuh daripada 10 pelanggan mengimbas MySejahtera apabila masuk ke premis berkenaan.

Pematuhan yang lebih tinggi di premis besar ini disebabkan pemilik kedai meletakkan pekerjanya untuk melakukan semakan terhadap pelanggan.

Pemerhatian ini dilakukan selama satu jam 30 minit di lima buah pasar raya besar di sekitar Kuala Lumpur.

mysejahtera

MASIH ada pelanggan yang menggunakan buku untuk daftar masuk premis. - Gambar hiasan

Namun bagi perniagaan yang besar seperti pusat beli-belah, pematuhan SOP dilihat masih ketat dengan kesemua pelanggan yang memasuki bangunan akan disemak status MySejahtera dan diminta untuk melakukan imbasan.

Ini kerana pusat beli-belah mempunyai tenaga kerja yang lebih ramai seperti pengawal keselamatan atau house detective untuk dikerah bagi melakukan pemeriksaan terhadap pelanggan.

Bagi memastikan pematuhan SOP imbasan MySejahtera ini berkesan dan konsisten, kerajaan sekurang-kurangnya perlu memikirkan mekanisme yang lebih sesuai untuk memudahkan rakyat.

Dengan kewujudan aplikasi MyTrace setidak-tidaknya boleh membantu kerajaan mengesan individu yang berstatus kontak rapat atau telah dijangkiti wabak itu.

Aplikasi yang dibangunkan bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu merupakan aplikasi mudah alih pengesanan kontak (contact tracing) menggunakan teknologi bluetooth.

Ia menggunakan pendekatan “dorongan masyarakat” (community driven) di mana telefon bimbit pengguna akan saling bertukar maklumat apabila berada dalam jarak tertentu.

Secara tidak langsung, aplikasi MyTrace melengkapkan MySejahtera untuk memerangi wabak Covid-19 di Malaysia.

Namun keberkesanan aplikasi ini hanya akan berkesan jika pengguna MySejahtera menghidupkan fungsi bluetooth pada telefon pintar masing-masing.

Majoriti kini menunggu maklum balas daripada Kementerian Kesihatan dan Mosti untuk mendapatkan data terkini jumlah pengguna MyTrace dan keberkesanan aplikasi itu dalam mengesan kontak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pematuhan, SOP, endemik, MySejahtera, imbas, MyTrace