Tindakan Aidil Sharin terima pujian


  • Podium
  • Ahad, 13 Mac 2022

PARA pemain KDA FC meraikan gol dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Sains FC pada Sabtu. — KDA FC

KETUA jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Sains FC dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah malam Sabtu.

Katanya, walaupun tanpa kesebelasan utama dan pemain import, barisan pemain muda yang diturunkan berjaya melaksanakan tugas yang dirancang dengan cemerlang.

"Bersyukur menang malam ini (Sabtu), ia dirancang dengan baik buat pasukan (yang) bermain tanpa kesebelasan utama dan import, bagi memberi peluang pemain tempatan bermain dan menunjukkan kualiti bermain.

"Sebab kami mempunyai ramai pemain muda yang ada keinginan untuk bermain dalam kesebelasan utama, (perlawanan) ini memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain dan baik untuk pasukan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC menewaskan Sains FC 4-0, malam Sabtu.

Aidil Sharin turut memuji dua pemainnya Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan Mohamad Amer Azahar yang masing-masing meledak dua gol pada perlawanan itu dan berharap prestasi mereka terus meningkat.

Sementara itu, ketua jurulatih Sains FC, Leong Hong Seng mengucapkan syabas kepada Kedah yang menurunkan keseluruhan pemain tempatan sekali gus membolehkan pasukannya sedikit sebanyak bersaing dalam perlawanan itu.

"Tapi pengalaman dan kualiti pemain yang ada pada Kedah menjadi penentu keputusan malam ini kerana rata-rata pemain kita adalah kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), manakala Kedah mempunyai fasiliti lengkap," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram