Penggantungan PAFA tidak halang Perak FC beraksi


  • Podium
  • Isnin, 07 Mac 2022

PAFA dan Perak FC merupakan dua entiti berbeza selepas berlakunya proses penswastaan liga bola sepak tanah air.

TINDAKAN Pesuruhjaya Sukan (PJS) menggantung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berikutan pelanggaran perlembagaan tidak menjejaskan penyertaan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan, Pafa dan Perak FC merupakan dua entiti berbeza, selepas berlakunya proses penswastaan liga bola sepak tanah air.

"Perkara itu tidak timbul, kerana ia bukan dalam organisasi yang sama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof memaklumkan, PAFA digantung enam bulan ekoran pelanggaran perlembagaan persatuan sewaktu pemecatan keahlian 12 gabungan badan sukan tersebut, sebelum ini.

Keputusan penggantungan itu dicapai dalam satu mesyuarat dihadiri Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan mewakili ahli gabungan yang dipecat dan Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad pada Isnin.

‘Kumpulan 12’ ahli gabungan tersebut adalah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.

Pada 25 November lepas, Muhammad Yadzan pada sidang akhbarnya mengumumkan pemecatan 12 ahli gabungan PAFA dan mendakwa kumpulan itu merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat.

Dakwanya, pemecatan itu berikutan pelanggaran Artikel 80 Perlembagaan PAFA mengenai keahlian, yang menyatakan tiada ahli gabungan yang boleh menjadi ahli dua persatuan, memandangkan sebelum ini 12 daripada 18 ahli gabungan mendesak mengadakan EGM. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PJS, MFL, PAFA, perak FC, gantung, stuart ramalingam